Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Zaqy: Badan-badan agama perlu main peranan lebih besar pupuk fahaman lebih inklusif

Pertubuhan Jamiyah merancang untuk menyertakan segmen-segmen dalam Bahasa Mandarin dalam program-program Maulidur Rasul anjurannya seperti Festival Muslim Singapura (SMF).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pertubuhan Jamiyah merancang untuk menyertakan segmen-segmen dalam Bahasa Mandarin dalam program-program Maulidur Rasul anjurannya seperti Festival Muslim Singapura (SMF).

Ini dalam usaha menjadi lebih inklusif.

Jamiyah mendedahkan demikian sedang Menteri Negara Pembangunan Negara, Zaqy Mohamad menyeru badan-badan agama di Singapura supaya memainkan peranan lebih besar dalam memupuk pemahaman agama yang lebih inklusif bagi masyarakat.

JAMIYAH ANJUR SMF BUAT PERTAMA KALI

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini di mana acara Maulidur Rasul anjuran Jamiyah dianjurkan di sebuah stadium estet perumahan, pada tahun ini Jamiyah mengambil pendekatan berbeza, namun skalanya tetap besar.

Dianjurkan di Singapore Expo, Festival Muslim Singapura (SMF) itu mengundang 22 penceramah dari empat negara berbeza, di samping menempatkan 200 gerai makanan dan barangan halal.

Tujuannya untuk menarik lebih ramai pengunjung daripada latar belakang agama dan bangsa yang berbeza untuk mengenali Islam dengan lebih dekat lagi.

ZAQY: JANGAN AMBIL TOLERANSI AGAMA DENGAN LEWA

Encik Zaqy Mohamad memuji usaha itu sambil menekankan bahawa usaha inklusif dari 'bawah ke atas' ini penting di tengah-tengah serangan masjid di Christchurch yang berlaku baru-baru ini.

Di situlah menurut Encik Zaqy, badan dan pertubuhan tempatan memainkan peranan penting untuk meningkatkan pemahaman agama Islam dan agama lainnya, kerana 'sifat toleransi antara agama' dan sikap keterbukaan agama di sini tidak boleh diambil sambil lewa.

"Ini memang satu cara untuk membawa organisasi bersama bukan saja untuk maulud ini tetapi untuk membawa mereka untuk bersepadu dan insya Allah menjalankan program yang bersama pada masa depan.

"Jadi saya berharaplah kita menggunakan platform sebegini mungkin untuk membawa bersama masyarakat ke atas program program dan mungkin inisiatif untuk memberi sokongan kepada program program rakyat juga," kongsi beliau, yang juga merupakan Menteri Negara Tenaga Manusia, kepada pihak kami.

JAMIYAH TERAPKAN SEGMEN MANDARIN

Seolah-olah menyahut harapan Encik Zaqy itu, Jamiyah turut mengeluarkan azam bagi program-programnya yang akan datang.

Memandang ke hadapan, badan itu berharap menjadi lebih inklusif di dalam acara maulidnya dengan menyertakan segmen-segmen dalam Bahasa Mandarin.

Ini setelah Jamiyah menerapkan segmen Tamil buat pertama kalinya pada acaranya pada tahun ini.

Dalam acara itu semalam (30 Mac), Encik Zaqy turut melancarkan acara berarak beramai-ramai dengna penyertaan sebanyak 30 kontinjen, termasuk mereka yang datang daripada golongan kurang upaya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan