Images
  • low bono main
    Peguam-peguam panel FJSS, Cik Rebecca Vathanasin dan Cik June Lim. (Gambar-gambar: Mediacorp)

Yuran guaman lebih rendah bagi kes cerai; sasar bantu golongan kurang mampu

SINGAPURA: Seramai 20 pemohon sudah mendaftar bagi Skim Sokongan Keadilan Keluarga (FJSS), yang dirintiskan pada September lalu.

Skim kendalian Khidmat Pro Bono Persatuan Guaman (LSPBS) itu memadankan para pemohon yang terlibat dalam kes-kes mahkamah keluarga, dengan para peguam yang mengenakan yuran guaman lebih rendah.

Ia menyasarkan para pemohon berpendapatan sederhana yang tidak layak menerima bantuan daripada Biro Bantuan Guaman (LAB) di bawah naungan Kementerian Undang-Undang (MinLAW).

Salah seorang penerima bantuan FJSS, 'Amran' (bukan nama sebenar) menemui jalan buntu apabila bekas isterinya meninggalkannya enam tahun lalu tanpa menjalani proses perceraian yang betul.


Encik 'Amran' ketika bercakap dengan wartawan Mediacorp.

"Saya cuba menyewa flat dari HDB tetapi disebabkan oleh status perkahwinan saya, saya tidak dibenarkan (berbuat demikian) dan harga sewa dalam pasaran terbuka pula mahal.

"Kadangkala saya tidur di rumah rakan saya. Gara-gara pendapatan saya, saya tidak memenuhi syarat-syarat yang melayakkan saya untuk mendapatkan bantuan guaman," kongsi Bernard.

Mujur Bernard berkenalan dengan seorang peguam, June Lim dari Eden Law yang sanggup membantunya dengan mengenakan yuran guaman yang rendah.

Cik Lim membantu Bernard untuk mengendalikan kes di mahkamah dan memohon flat bagi Bernard dan anak perempuannya.

Bagaimanapun, selepas permohonannya bagi mendapatkan bantuan guaman ditolak, tiada wadah rasmi yang boleh dijadikan sebagai rujukan bagi Bernard.

Keadaannya berbeza sekarang dengan pelancaran Skim Sokongan Keadilan Keluarga (FJSS) yang bermatlamat untuk membantu para pemohon seperti Bernard.

Program rintis tersebut kini dipengerusikan oleh peguamnya, Cik June Lim.

"Ada firma-firma guaman yang sudah (membantu) selama ini, namun setakat sedikit demi sedikit dan atas dasar muhibah. Lantaran itu kami sedang berusaha untuk menggembleng sumber-sumber bersama," kata Cik Lim.


Pengerusi Skim Sokongan Keadilan Keluarga (FJSS), Cik June Lim.

Skim FJSS membantu rakyat tempatan yang tidak layak menerima bantuan guaman pemerintah seperti LAB disebabkan oleh pendapatan mereka yang menjangkaui kriteria kelayakan yang ditetapkan.

Had pendapatan bagi FJSS kini lebih tinggi, iaitu S$1,400 sebulan dan meliputi sepertiga bahagian bawah isi rumah di Singapura. LAB pula menetapkan purata pendapatan bulanan per kapita tidak melebihi S$950 sebagai syaratnya.

Potongan harga yang ditawarkan bergantung kepada kemampuan pemohon dan kerumitan kes. Tanpa bantuan sedemikian, kes-kes rumit boleh menelan belanja lebih S$20,000.

FJSS juga menawarkan bantuan percuma bagi warga asing berpendapatan rendah yang mempunyai anak rakyat Singapura. Mereka juga tidak layak menerima bantuan guaman pemerintah dan membentuk 15 daripada 20 pemohon FJSS sejauh ini.

Seramai 48 peguam membentuk panel peguam FJSS.

Salah seorang daripada mereka, anggota Jawatankuasa Guaman Undang-Undang Muslim, Cik Rebecca Vathanasin berpendapat, skim tersebut boleh membantu mencegah situasi di mana individu-individu yang cuba mewakili diri sendiri semasa perbicaraan, perlu berulang kali membuat permohonan untuk mengubah perintah mahkamah.


Peguam panel FJSS, Cik Rebecca Vathanasin (kanan).

Program rintis FJSS dijangka akan membantu lebih 100 orang sebelum Mac namun ia mungkin tidak akan dapat mencapai sasaran tersebut, dengan penularan COVID-19 menyulitkan tugas mendampingi anak guam.

FJSS juga mengharapkan sumbangan dermawan yang boleh membantu menangani cabaran-cabaran seperti masalah bahasa yang berbeza ketika membantu warga asing.

"Jika kita mendapat pemohon yang hanya bertutur dalam bahasa Vietnam atau Thai, misalnya, kita perlu mendapatkan khidmat penterjemah luar dan kita memerlukan pembiayaan dana," kata Cik June Lim.

Skim FJSS akan dikaji semula pada bulan Jun untuk melihat apa lagi yang boleh diperbaiki, termasuk masa yang diambil untuk memadankan pemohon dengan peguam dan syarat-syarat kelayakan. 


LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/ZM/zm

Top