Images
  • netlink boradband
    Gambar fail van NetLink Trust. (Gambar: NetLink Trust)

Yishun terjejas gangguan Internet akibat kabel terputus

SINGAPURA: Sekitar 600 pengguna di Yishun terjejas oleh gangguan pada khidmat jalur lebar gentian pada Jumaat (14 Jun) disebabkan oleh kabel yang terputus.

Gangguan bermula pada sekitar 5.00 petang, menurut syarikat pengendali rangkaian gentian NetLink Trust.

"Kami sudah mengerahkan pasukan pembaikan ke tempat terjejas dan khidmat Internet sedang dipulihkan," menurut NetLink Trust dalam maklumannya pada 8.00 malam.

"Khidmat Internet akan beransur pulih malam ini."

Syarikat-syarikat telko Singtel, M1 dan Starhub memuat naik catatan ke laman Facebok untuk memaklumkan para pelanggan mengenai gangguan itu.

Singtel menyatakan bahawa para pelanggan di kawasan Yishun Ring Road mungkin mengalami kesukaran untuk mengakses khidmat Internet jalur lebar, Singtel TV dan khidmat panggilan digital.

M1 menyatakan sebilangan pelanggan mungkin sukar mengakses khidmat Internet gentian dan panggilan telefon, sementara StarHub memaklumkan bahawa sesetengah pelanggannya di Yishun mungkin menghadapi masalah khidmat gentian.

Insiden hari ini adalah yang terbaru dalam siri gangguan khidmat jalur lebar yang menjejas para penduduk.

Pada Mei, sekitar 2,000 pengguna di Marsiling dan Woodalnds terjejas oleh gangguan khidmat jalur lebar gentian. Insiden serupa berlaku November lalu yang menjejas kira-kira 10,000 pengguna di beberapa kawasan timur Singapura.

- CNA/ZM/zm

Top