Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

YEN@DPPMS lancar program inkubator keusahawanan Protégé Kita edisi ke-2 tahun depan

Edisi kedua program inkubator keusahawanan, Protégé Kita, anjuran Rangkaian Usahawan Muda (YEN) Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), akan diadakan awal tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Edisi kedua program inkubator keusahawanan, Protégé Kita, anjuran Rangkaian Usahawan Muda (YEN) Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), akan diadakan awal tahun depan.

Program itu yang disokong Enterprise Singapore, bertujuan mengasah dan membimbing peniaga baru dengan pengetahuan dan sumber untuk mengubah idea perniagaan mereka menjadi model-model perniagaan yang mampan.

Protégé Kita pertama kali diadakan pada pada 2015, dan ia berjaya membantu sekitar 30 usahawan dari pelbagai bidang niaga ketika itu.

Pemenang program keusahawanan itu pula ialah Cik Dian Rasid bersama suaminya, Encik Noor Hadi yang merupakan pengasas RoseValley dan Adi Media.

SERTAI PROTEGE KITA RAIH ILMU PERNIAGAAN

Peserta lain Protégé Kita termasuklah Encik Nasruledy Hakim Abdul Rahman, yang menubuhkan kedai makanan Hany's The Brunch Store pada 2014 walaupun tanpa pengetahuan perniagaan yang mendalam.

Berbekalkan tekad untuk memperkaya ilmu perniagaannya, Encik Nasruledy membuat keputusan menyertai program Protégé Kita setahun kemudian.

Jadi, apa yang beliau pelajari dan raih daripada program itu?

"Pelajaran yang sampai sekarang saya dapat gunakan untuk perniagaan saya adalah bagaimana kita boleh lakarkan strategi-strategi perniagaan apabila ekonomi suram dan sebagainya.

"Ini termasuk perakaunan, pemasaran, bagaimana kita boleh lakarkan strategi-strategi yang khusus dan bagus untuk perniagaan kita seperti mana setiap sistem dan proses yang saya ada di dalam kedai diubah suai untuk menjadi lebih digital dan lebih dinamik," jawab Encik Nasruledy.

Perniagaan Encik Nasruledy merupakan antara perniagaan lima teratas di kalangan peserta program itu.

Selepas menimba pelbagai pengetahuan menyusuli program Protege Kita, Encik Nasruledy mengambil langkah menebarkan kehadiran kedai beliau ke laman web selain menaik taraf kedai itu sendiri.

Hasilnya, pendapatan bulanan perniagaannya meningkat dua kali ganda kerana menerima lebih ramai pelanggan dan lebih banyak tempahan, termasuk daripada syarikat-syarikat besar.

Melalui Protégé Kita juga, beliau dapat membina rangkaian dengan para peniaga lain yang merupakan peserta program itu. Persabahatan yang dijalin itu kekal sehingga sekarang, menurut Encik Nasruledy.

"Kami saling berinteraksi antara satu sama lain tentang masalah-masalah yang kita ada.Teman-teman seperti ini yang susah kita dapat di luar yang boleh memahami situasi kondisi perniagaan kita," kata beliau.

FIKIRAN LEBIH AGRESIF UNTUK MAJUKAN PERNIAGAAN

Turut menyertai program Protégé Kita empat tahun lalu ialah Cik Sery Rahim pemilik perniagaan kek Violetfrost.

Sebelum memasuki program itu, pelan perniagaan beliau tidak memberangsangkan. Beliau hanya menjual kek kepada rakan dan keluarganya melalui lelaman Facebook.

Namun, ia berubah setelah menyertai program Protege Kita.

"Semasa program itu, saya mengenali para peserta dan usahawan yang lain, pemikiran mereka sangat agresif dalam memikirkan perniagaan mereka," menurut Cik Sery.

"Ia membuat saya fikirkan perniagaan saya dan membuat saya lebih agresif dalam mengendalikan perniagaan saya."

Selepas mengikuti Protégé Kita, beliau meluaskan penjualan keknya menerusi wadah online lain dan hasilnya tempahan keknya melonjak 10 kali ganda kepada 500 kek untuk dua bulan.

Kini Cik Sery terus terdorong untuk terus majukan perniagaannya dek pengaruh kohort peserta Protege Kita edisi pertama itu.

Beliau sekarang ini bakal menceburi laluan baru pula - iaitu membuka sebuah kedai makanan bersama seorang rakan bulan depan.

PROTEGE KITA EDISI 2 AKAN MANFAAT PERNIAGAAN BARU

Menurut Pengerusi Rangkaian Usahawan Muda (YEN), Encik Imran Mohamed, bidang keusahawanan sememangnya adalah sukar.

"Jika seseorang memulakan perniagaan sendiri, ada kemungkinan mereka akan membuat kesalahan atau gagal. Dengan Program Protégé Kita, kami berharap untuk memberi sokongan yang diperlukan untuk mengelakkan mereka daripada membuat kesilapan sebegitu," terang beliau.

Selama 18 bulan bermula Februari tahun hadapan, para peniaga yang menyertai program itu akan melalui latihan menyeluruh, serta akan didedahkan kepada ekosistem keusahawan di Singapura.

Program itu akan dibahagikan kepada tiga peringkat.

Peringkat pertama adalah peringkat 'Bootcamp' di mana mereka akan membina keupayaan keusahawanan serta idea perniagaan mereka. Selain itu, mereka juga akan mengubah idea perniagaan mereka kepada model perniagaan yang berkesan dengan bimbingan pakar-pakar industri.

Sesudah itu, para peserta akan menjalani peringkat 'Bimbingan' di mana mereka akan dipadankan dengan seorang mentor selama sembilan bulan yang membantu dari peringkat idea perniagaan hinggalah kepada pengembangan perniagaan.

Peringkat terakhir pula menjangkau enam bulan, di mana para peserta akan mendapat akses kepada sumber asas penting yang diperlukan untuk membina perusahaan mereka.

Jelas, fasa kedua dan ketiga semestinya bertujuan membantu para peserta membina perniagaan mereka dengan asas yang kukuh.

Jika anda berminat untuk menjadi peserta bagi Protégé Kita edisi kedua ini, pemohonan sudahpun dibuka oleh DPPMS.

Anda boleh mendaftar melalui lelaman www.protegekita.smcci.org.sg 

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan