Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Yayasan Temasek beri alat oksimeter percuma kepada setiap keluarga S'pura

Semua keluarga di Singapura akan layak untuk mengambil alat oksimeter percuma yang boleh digunakan untuk memantau ketepuan oksigen dalam darah mereka secara berterusan, menurut Yayasan Temasek pada Khamis (24 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Jun 2021 04:21PM Dikemas Kini : 24 Jun 2021 09:02PM

SINGAPURA: Semua keluarga di Singapura akan layak untuk mengambil alat oksimeter percuma yang boleh digunakan untuk memantau ketepuan oksigen dalam darah mereka secara berterusan, menurut Yayasan Temasek pada Khamis (24 Jun).

Ini adalah sebahagian daripada inisiatif "Kekal Bersedia" untuk "membantu setiap orang kekal selamat terutama dengan kemunculan varian COVID-19 yang baru dan mudah berjangkit".

Penggunaan oksimeter secara berterusan dapat membantu seseorang memantau kadar oksigen dalam darah mereka.

Ia mengeluarkan amaran kepada individu itu untuk mendapatkan rawatan perubatan sekiranya kadar oksigen dalam darah menjadi sangat rendah..

“Radang paru-paru (pneumonia) yang berlaku secara senyap merupakan salah satu kesan paling serius COVID-10, di mana seseorang yang mempunyai penyakit yang serius pada umumnya merasa sihat meskipun paru-parunya rosak dan tahap oksigennya rendah," jelas Yayasan Temasek.

Singapore Post juga akan mengedarkan risalah dengan tab penebusan ke peti surat setiap rumah antara 28 Jun hingga 3 Julai.

Penduduk boleh membawa risalah itu untuk mengambil alat oksimeter mereka antara 5 Julai hingga 5 Ogos di lebih daripada 300 cawangan pasar raya dan farmasi yang mengambil bahagian di merata negara.

Maklumat tentang tempat pengambilan dan juga waktu operasi disediakan di www.stayprepared.sg/oximeter.

Orang ramai juga boleh mengambil oksimeter itu bagi pihak anggota keluarga yang lain, teman-teman dan jiran mereka dengan membawa risalah yang telah dihantar ke rumah berkenaan bersama tab penebusannya sekali.

“Terdapat banyak stok, jadi tidak perlu terburu-buru," menurut Yayasan Temasek. Ia menambah bahawa orang ramai boleh memilih untuk mengambil alat itu selepas 7 Julai atau di luar waktu sibuk bagi mengelakkan keadaan sesak.

Sekiranya oksimeter yang diambil itu rosak atau tidak berfungsi, ia boleh digantikan dengan yang baru di Temasek Shophouse di 28 Orchard Road.

Ini boleh dilakukan antara 5 Julai hingga 31 Ogos semasa waktu operasi.

Bagaimanapun, oksimeter percuma tidak boleh diambil di sana. Mereka mesti membawa alat oksimeter dengan kotaknya sekali dalam keadaan asal serta kad pengenalan yang dikeluarkan oleh Pemerintah seperti NRIC atau FIN bagi tujuan pengesahan.

Ini adalah inisiatif terbaru dari Yayasan Temasek di tengah-tengah pandemik COVID-19. Sebelum ini, ia mengagihkan cecair pembasmi kuman tangan dan pelitup muka percuma kepada setiap keluarga di Singapura.  

Sumber : CNA/FZ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan