Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WP seru sikap lebih memahami, saling menghormati bagi banteras sikap perkauman

Pemimpin Pembangkang Pritam Singh pada Selasa (8 Jun) berkata bahawa Parti Pekerja (WP) "menyeru sikap saling memahami dan hormat-menghormati dari semua pihak" di tengah-tengah usaha membanteras sikap perkauman di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
WP seru sikap lebih memahami, saling menghormati bagi banteras sikap perkauman

(Gambar: Facebook/Dave Parkash)

Diterbitkan : 09 Jun 2021 04:18PM Dikemas Kini : 09 Jun 2021 04:20PM

SINGAPURA: Pemimpin Pembangkang Pritam Singh pada Selasa (8 Jun) berkata bahawa Parti Pekerja (WP) "menyeru sikap saling memahami dan hormat-menghormati dari semua pihak" di tengah-tengah usaha membanteras sikap perkauman di Singapura.

Encik Singh membuat kenyataan itu di Facebook semasa mengulas sebuah video tular yang memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap pasangan yang berlainan kaum.

Lelaki tersebut merupakan seorang kakitangan Politeknik Ngee Ann.

Dalam catatannya, Encik Singh berkata masyarakat patut menegur pandangan sedemikian, meskipun pandangan seumpama itu diutarakan secara peribadi.

"Sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan semakin berbilang budaya, tetapi yang paling penting - masyarakat sekular - ruang awam adalah ruang bersama untuk semua rakyat Singapura - tanpa mengira kaum, agama, kecenderungan seksual dan lain-lain untuk turut serta secara aktif," kata Encik Singh.

"Kita tentu saja berhak terhadap pandangan peribadi kita - tetapi tidakkah kita sebagai sebuah masyarakat wajar menegur pandangan peribadi yang sedemikian rupa demi menjadikan ruang awam lebih selamat dan lebih bertolak ansur untuk semua?

"Melakukan sedemikian akan menjadi kesempatan untuk bermuhasabah diri, membongkar prasangka kita dan dengan itu, menentukan jenis masyarakat yang kita inginkan."

Encik Singh menyifatkan reaksi terhadap kejadian itu sebagai satu "sinar harapan".

"Hakikat bahawa ramai orang tidak kira peringkat umur atau fahaman berbuat sedemikian sebagai tindak balas terhadap kata-kata berbaur perkauman (lelaki itu), dengan cara yang tegas, namun terkawal, menunjukkan sinar harapan," katanya.

"Teguran pantas daripada orang ramai dan ahli politik dari semua parti juga menunjukkan bahawa pandangan seperti itu tidak boleh diterima di Singapura hari ini, walaupun kita terus hidup dengan hakikat bahawa pandangan sedemikian wujud." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan