Images
  • GRC Aljunied
    Pasukan WP dan PAP yang bertanding di GRC Aljunied. (Gambar: Jeremy Long)

WP sedia pertahan GRC Aljunied daripada PAP

SINGAPURA: Pasukan Parti Pekerja (WP) di GRC Aljunied sudah bersedia untuk mempertahankan kawasan undi perwakilan berkumpulan itu, dengan lima calonnya disahkan pada Hari Penamaan Calon hari ini (30 jun).

Mereka ialah, Ketua parti Pritam Singh, pengerusi parti Sylvia Lim dan naib pengerusi parti Faisal Manap dengan disertai bekas Anggota Parlimen tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leon Perera dan Gerald Giam.

WP akan bersaing dengan wakil Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang terdiri daripada, wajah baru Cik Chan Hui Yuh dan Encik Alex Yeo. Pasukan itu juga mempertaruhkan Encik Chua Eng Leong, Encik Victor Lye dan Encik Shamsul Kamar - ketiga-tiga mereka pernah bertanding dalam GE2015.

GRC Aljunied, iaitu satu-satunya GRC yang dipegang parti pembangkang, akan menjadi perhatian, lebih-lebih lagi setelah mantan ketuanya Low Thia Khiang dan Encik Chen Show Mao mengundur diri bagi memberi laluan kepada calon-calon baru.

"Kami meletakkan hati dan fikiran kami demi untuk berkhidmat untuk anda di Parlimen, di kawasan undi ini dan di majlis bandaran, tidak kira apa pun cabarannya, tidak kira apa pun halangannya," kata Encik Singh.

"Kami meminta agar anda mengundi kami supaya kami boleh terus berkhidmat kepada anda. Kami akan berusaha untuk memenuhi jangkaan anda. Jika kami tersilap, kami meminta anda faham dan akan cuba untuk melakukan yang lebih baik," tambah beliau.

Sementara itu, dalam ucapannya Encik Lye menyeru agar penduduk mengundi PAP, lebih-lebih lagi sedang negara masih berdepan pandemik COVID-19.

"Kami masih berada di tengah-tengah krisis, kehidupan, pekerjaan dan masa depan kita. Anda menjadi tumpuan kami bagi apa sahaja yang kami lakukan. Sudah sembilan tahun, Aljunied. Tiba masanya untuk bawa kami pulang," kata Encik Lye.

Beliau memberitahu wartawan kemudian, bahawa penduduk tidak harus mempunyai tanggapan bahawa perlu ada "seorang menteri" di setiap GRC.

"Kami lakukan ini kerana kami percaya tujuannya...kami ada calon-calon baru, contohnya, mereka yang sanggup bertanding," kata beliau, sambil menambah dirinya sudah berkhidmat di kawasan undi itu sejak 1999.

WP pertama kali menang di GRC Aljunied pada 2011 menyebabkan salah seorang mantan anggota Kabinet George Yeo terpaksa berundur.

Pada tahun yang sama, peratusan undi bagi PAP merosot ke paras rendah 60.1 pertatus.

Dalam GE2015, WP menang tipis di GRC Aljunied dengan memperoleh 50.96 peratus undi menentang pasukan PAP yang terdiri daripada Encik Chua, Encik Lye, Encik Shamsul, Encik Murali Pillai dan anggota veteran PAP Yeo Guat Kwang.

Bagi Pilihan Raya Umum kali ini, terdapat sekitar 151,000 pengundi yang layak di GRC Aljunied.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/NK/nk

Top