Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WP, PAP bakal berentap bagi GRC Marine Parade

Para pengundi di Marine Parade akan perlu memilih antara pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin Tan Chuan-Jin, dan pasukan Parti Pekerja yang dipimpin Yee Jenn Jong, apabila mereka keluar mengundi pada 10 Jul.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jun 2020 02:52PM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 09:29PM

SINGAPURA: Para pengundi di Marine Parade akan perlu memilih antara pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin Tan Chuan-Jin, dan pasukan Parti Pekerja yang dipimpin Yee Jenn Jong, apabila mereka keluar mengundi pada 10 Jul.

Ini merupakan pilihan raya pertama GRC itu tanpa kehadiran Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong selepas beliau mengumumkan tidak bertanding dalam GE tahun ini.

Calon dari kedua-dua parti, kesemuanya lelaki, sudah menyerahkan borang pencalonan mereka di Sekolah Kong Hwa pada Selasa (30 Jun).

Selain Encik Tan, pasukan lima anggota PAP terdiri daripada Menteri Negara Kanan Edwin Tong, CEO Fairprice Group Seah Kian Peng, dan muka baru Dr Tan See Leng dan Encik Fahmi Aliman.

Calon-calon baru itu menggantikan Encik Goh dan Dr Fatimah Lateef, yang merupakan sebahagian pasukan PAP pada pilihan raya 2015.

"Dunia sedang berdepan dengan krisis yang tidak pernah kami alami sebelum ini, buat bertahun-tahun lamanya. Kami perlukan kepimpinan yang kuat dan berkesan untuk harungi masa-masa sukar ini," kata Encik Tan selepas pencalonannya disahkan di Pusat Penamaan Calon di Kong Hwa School.

Encik Tong menambah: "Pasukan ini akan terus bekerja keras untuk memenuhi janji kami kepada anda."

Pasukan PAP akan bersaing dengan pasukan WP yang terdiri daripada Encik Yee, Encik Ron Tan dan muka-muka baru, Encik Nathaniel Koh, Encik Fadli Fawzi dan Encik Azhar Abdul Latip.

Encik Yee adalah sebahagian daripada pasukan WP yang bertanding di Marine Parade pada 2015, sementara Encik Ron Tan bersaing di GRC Nee Soon pada tahun yang sama.

"Parti Pekerja kembali," kata Encik Yee selepas pencalonan mereka disahkan. "Sepanjang tiga Pilihan Raya lalu, kami bersaing di Joo Chiat dan kemudian Marine Parade. Hari ini, kami kembali dengan satu lagi pasukan yang berdedikasi. Kami tidak pernah berundur."

Pada 2015, pasukan PAP yang dipimpin Encik Goh kalahkan pasukan WP dengan meraih 64.07 undi rakyat. Ini kali ketiga WP menghantar pasukannya ke Marine Parade.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan