Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WP minta Pemerintah jelaskan peraturan kempen Pilihan Raya; SDP gesa tempoh kempen dilanjutkan

Parti Pekerja (WP) menggesa Pemerintah supaya "menerbitkan peraturan berkempen pilihan raya tanpa berlengah", dengan menyatakan tidak jelas apakah perubahan yang akan dilakukan pada kempen pilihan raya di tengah-tengah COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
WP minta Pemerintah jelaskan peraturan kempen Pilihan Raya; SDP gesa tempoh kempen dilanjutkan

Gambar fail Parti Pekerja (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 28 May 2020 10:16PM Dikemas Kini : 28 May 2020 10:26PM

SINGAPORE: Parti Pekerja (WP) menggesa Pemerintah supaya "menerbitkan peraturan berkempen pilihan raya tanpa berlengah", dengan menyatakan tidak jelas apakah perubahan yang akan dilakukan pada kempen pilihan raya di tengah-tengah COVID-19.

"Hingga kini, tidak jelas khususnya bagaimana peraturan berkempen akan diubah memandangkan pandemik COVID-19," menurut WP dalam kenyataan media pada Khamis (28 Mei).

Kenyataan WP dibuat sehari selepas Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata bahawa "pilihan raya semakin hari semakin hampir".

Dalam temu bual dengan Mediacorp pada Rabu, Encik Heng berkata: "Lebih cepat pilihan raya umum diadakan, lebih awal kita dapat menggembleng semua orang untuk menangani cabaran sangat penting ini yang bakal dihadapi, dan juga untuk menangani ketidakpastian yang sangat ketara dalam beberapa bulan dan tahun akan datang."

Dengan ketidaktentuan mengenai cara berkempen apa yang dibolehkan, parti politik "berisiko mensia-siakan sumber dan perbelanjaan", jelas WP.

"Sebagai contoh, walaupun telah dinyatakan bahawa penstriman video dapat digunakan, tidak diketahui apakah akan ada peraturan tentang isi kandungan dan format video tersebut," katanya, sambil menambah bahawa masa untuk mencari pembekal yang sesuai untuk perkhidmatan kian suntuk.

"Parti yang bertanding harus mengetahui peraturan secepat mungkin, agar dapat bersiap sedia untuk menawarkan usaha terbaik bagi pengundi Singapura pada pilihan raya nanti," tambah WP.

SDP GESA "AKSES SAKSAMA"

Dalam kenyataan berasingan di laman webnya pada Khamis, Parti Demokratik Singapura (SDP) menggesa Pemerintah agar melanjutkan tempoh berkempen kepada 21 hari berbanding tempoh minimum sembilan hari sekarang.

Ini adalah antara lima cadangan parti itu.

Ia juga mengusulkan memberi semua parti akses ke saluran Mediacorp setiap malam, akses ke program radio setiap hari, ruang di akhbar milik Singapore Press Holdings agar setiap parti dapat menerbitkan manifesto dan idea mereka setiap hari, selain membolehkan parti menemui penduduk di pusat makanan, kolong blok dan kawasan umum.

"Sangat sayang sekali dan bahkan berbahaya bagi pilihan raya dipandang sebagai satu kepayahan yang perlu diselesaikan dan bukan sebagai saat genting bagi negara untuk bersama-sama memilih masa depan negara terutama memandangkan keadaan kesan virus korona."

"Sekarang ini pun, rapat besar-besaran tidak akan menjadi ciri utama (jika ia dibenarkan sama sekali) semasa berkempen. Ini meletakkan pihak pembangkang berada pada kedudukan yang leibh lemah lagi," menurut SDP di laman webnya.

"Bagi memastikan pilihan raya ini betul-betul bermakna, parti-parti yang bertanding harus diberi akses yang saksama supaya pengundi mengetahui pelbagai platform, dasar, hujah dan hujah balas."

Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang pada 4 Mei untuk memudahkan pilihan raya diadakan semasa pandemik COVID-19.

Di bawah Rang Undang-Undang Pilihan Raya Parlimen (Aturan Khas COVID-19), rakyat Singapura yang diletakkan di bawah notis jangan keluar rumah di kemudahan yang ditetapkan akan dibenarkan untuk mengundi di luar kawasan undi mereka.

Calon-calon yang sedang di bawah arahan kuarantin atau notis jangan keluar rumah COVID-19, yang dimasukkan ke hospital atau sakit juga boleh memberi kuasa kepada seorang wakil untuk menyerahkan kertas pencalonannya bagi pihaknya.

Rang tersebut tidak meliputi langkah berjaga-jaga lain yang dirancang oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD), seperti yang terkait dengan berkempen. ELD menyatakan pihaknya akan berkongsi garis panduan berkempen apabila tiba waktunya kelak.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan