Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WP bakal bentang pindaan terhadap usul udang-undang campur tangan asing

Parti Pekerja (WP) pada Rabu (29 Sep) menyatakan bahawa ia akan membentangkan pindaan-pindaan di Parlimen bagi undang-undang yang diusulkan terhadap campur tangan asing sambil menambah bahawa WP tidak bersetuju dengan bentuk Rang Undang-undang sekarang ini.

Anggaran Waktu Membaca:
WP bakal bentang pindaan terhadap usul udang-undang campur tangan asing

Para Anggota Parlimen daripada Parti Pekerja. (Gambar: Facebook/ The Worker's Party)

Diterbitkan : 29 Sep 2021 10:45PM Dikemas Kini : 29 Sep 2021 10:52PM

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) pada Rabu (29 Sep) menyatakan bahawa ia akan membentangkan pindaan-pindaan di Parlimen bagi undang-undang yang diusulkan terhadap campur tangan asing sambil menambah bahawa WP tidak bersetuju dengan bentuk Rang Undang-undang sekarang ini.

Saranan-saranan parti itu termasuk pengawasan dalam tindakan eksekutif oleh badan kehakiman dan "proses penilaian lebih tepat" ke atas kuasa eksekutif untuk "lebih banyak mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa".

Ia juga menggesa agar identiti individu dan pihak yang tertakluk di bawah undang-undang dikongsi dengan lebih jelas dan telus.

"Meskipun Parti Pekerja akur perlu menentang tindakan campur tangan yang sememangnya daripada pihak asing, kami tidak bersetuju dengan bentuk Rang Undang-Undang sekarang ini dalam mencapai matlamat tersebut," menurut kenyataan di laman parti itu.

Rang Undang-undang (Langkah Tindakan Balas) Campur Tangan Asing diperkenalkan di Parlimen pada 13 September. Ia bertujuan mencegah, mengesan dan memintas penggunaan kempen maklumat berbaur permusuhan oleh badan asing yang berniat untuk campur tangan dalam politik tempatan.

Rang Undang-undang itu dijangka dibahaskan dalam sesi parlimen selanjutnya yang bermula pada Isnin (4 Sep).

Di bawah Rang Undang-undang itu, Menteri Ehwal Dalam Negeri boleh mengeluarkan arahan yang memerlukan seseorang atau perantara Internet untuk berhenti menyampaikan kandungan yang dianggap sebahagian daripada kempen maklumat berbaur permusuhan. Jika arahan itu tidak dipatuhi, menteri tersebut boleh mengarah penyelia khidmat Internet untuk menyekat akses kepada kandungan berkenaan.

Sama seperti Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA), pihak yang dikenakan arahan itu dikehendaki mematuhinya tidak kira sama ada ia berniat untuk mengemukakan rayuan. Pihak yang sabit kesalahan tidak mematuhi arahan tersebut boleh dijatuhi hukuman penjara, didenda atau kedua-duanya sekali.

Pihak yang mahu mengemukakan rayuan terhadap arahan itu kemudian boleh memohon kepada menteri tersebut untuk mengesahkan atau membatalkan arahan tersebut.

Sekiranya menteri menolak, parti tersebut boleh mengemukakan rayuan kepada sebuah Tribunal Semakan yang dipengerusikan oleh hakim Mahkamah Tinggi dan lagi dua individu bukan pemerintah. Tribunal itu boleh menolak permohonan tersebut atau menarik balik keputusan menteri berkenaan.

Pemerintah mengusulkan agar tribunal itu, bukan mahkamah, mendengar rayuan sedemikian kerana ia mungkin melibatkan maklumat risikan sensitif yang ada kesan terhadap keselamatan negara.

Namun, Anggota Parlimen (AP) He Ting Ru (WP-Sengkang) mengusulkan agar Mahkamah Tinggi, bukan tribunal, yang mendengar rayuan sedemikian dan pihak yang dikenakan arahan itu boleh membuat permohonan kepada mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan arahan tersebut hingga keputusan rayuan dikeluarkan.

Cik He juga menyarankan agar Mahkamah Tinggi boleh mengarahkan rayuan itu, baik secara keseluruhan mahupun sebahagian, menerusi kamera jika ia berpuas hati bahawa ini adalah demi mendukung keadilan dan kepentingan keselamatan awam.

Menerusi kamera bermakna prosiding mahkamah tidak dibuka kepada orang awam.

BIDANG KUASA LEBIH KETAT

Berkaitan proses penilaian lebih tepat untuk mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa, AP Jamus Lim (WP-Sengkang) mengusulkan agar menteri bertindak berdasarkan "bukti atau maklumat yang boleh digunakan untuk bertindak" berbanding syak wasangka. seperti yang dinyatakan dalam Rang Undang-undang sekarang ini.

Di bawah Rang Undang-undang itu, menteri berkenaan mesti mengesyaki atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kandungan sudah atau sedang dirancang untuk disampaikan oleh atau bagi pihak asing; bahawa terdapat maklumat atau bahan yang diterbitkan di Singapura disebabkan perkara itu; dan ia adalah demi kepentingan awam sebelum mengeluarkan arahan tersebut.

LEBIH JELAS

AP Leon Perera (WP-Aljunied) pula mengusulkan agar mereka yang disifatkan sebagai "penting dari segi politik" disenaraikan dalam daftar yang disediakan dan boleh diakses secara percuma dan mudah oleh orang awam, termasuk sebab-sebab dia disifatkan sedemikian.

Ini melainkan pihak berkuasa yang cekap menganggap ia "tidak praktikal atau tidak perlu" untuk dilakukan atas sebab keselamatan negara, kata beliau.

WP menambah bahawa para APnya akan "membentangkan hujah-hujah lebih menyeluruh" dalam perbahasan parlimen tentang Rang Undang-undang itu.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan