Images

World Dream kembali belayar pada kapasiti 50% mulai 14 Jun

SINGAPURA: Mulai Isnin depan (14 Jun), World Dream milik Dream Cruises akan kembali beroperasi pada separuh kapasiti penumpang.

Demikian selepas Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan kapasiti operasi di tempat daya tarikan, termasuk dua kapal persiaran - World Dream dan Quantum of the Seas kendalian Royal Caribbean - mendapat kelulusan pihak berkuasa akan ditambah daripada 25 peratus sekarang kepada 50 peratus mulai 14 Jun.

"World Dream akan kembali beroperasi pada kapasiti penumpang 50 peratus yang dibenarkan di mana para tetamu daripada keluarga berbeza boleh menikmati pilihan untuk bercuti dalam kumpulan sehingga lima orang," menurut Dream Cruises dalam satu kenyataan media pada Jumaat (11 Jun).

Tambahnya, mulai 21 Jun, para tetamu juga boleh makan dan menyaksikan persembahan secara langsung di atas kapal tersebut.

Presiden Dream Cruises Michael Goh berkata meskipun dengan langkah-langkah kewaspadaan dipertingkat, World Dream "menikmati perniagaan kukuh bahkan kami menyaksikan slot pelayaran yang terhad untuk Julai".

"Dengan ketekunan kru kami dalam menyediakan sekitaran paling selamat untuk para tetamu atas kapal, World Dream melanjutkan rekod prestasinya sebagai pilihan percutian tanpa perlu bimbang bagi penduduk Singapura," kata Encik Goh.

- CNA/SM/sm

Top