Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WGS nadi masyarakat Melayu; milik kita bersama, kata Dr Maliki

Kepelbagaian kemudahan dan kegiatan yang disediakan di Wisma Geylang Serai "berpotensi" untuk terus menarik bukan sahaja pengunjung Melayu tetapi juga yang bukan Melayu. Mentelah lagi dengan kemasukan lebih banyak pertubuhan dan para peruncit komersil untuk mula beroperasi di WGS.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kepelbagaian kemudahan dan kegiatan yang disediakan di Wisma Geylang Serai "berpotensi" untuk terus menarik bukan sahaja pengunjung Melayu tetapi juga yang bukan Melayu. Mentelah lagi dengan kemasukan lebih banyak pertubuhan dan para peruncit komersil untuk mula beroperasi di WGS.

Dengan perasmian WGS hujung minggu ini pula, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman berharap lebih ramai pihak akan menjayakan pusat bersepadu warisan budaya Melayu dan hab sosial tersebut.

Sejak membuka pintunya lebih enam bulan lalu, WGS sudah mengadakan pelbagai kegiatan dan acara, termasuk bazar Ramadan, pameran kemahiran dan kerjaya serta acara untuk kanak-kanak. Semua itu menyumbang kepada kejayaan menarik lebih 75,000 pengunjung ke WGS.

Untuk terus menarik lebih ramai pengunjung, WGS menyedari ia perlu mempelbagaikan sajian acara dan kegiatan untuk umum.

"Apa yang kami dapati adalah penting untuk mengadakan program-program yang menarik berbagai segmen masyarakat kita. Kita akur, visi kita adalah untuk menjadikan WGS sebagai nadi masyarakat Melayu kita, bermakna setiap anggota masyarakat rasa bahawa WGS adalah milik mereka bersama," kata Dr Maliki.

Selain penganjuran acara, WGS juga menyepadukan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) di bawah satu bumbung bagi memudahkan masyarakat memohon bantuan. Dipanggil Kurnia@WGS, ia menempatkan tujuh MMO.Kini, setelah lebih sebulan beroperasi, Kurnia@WGS sudah dilanggani lebih 100 pemohon, dengan lebih 80 peratus tampil bagi mendapatkan bantuan kewangan.

Hab KURNIA@WGS dibuka rasmi di tingkat tiga Wisma Geylang Serai hari ini (30 Nov). (Gambar: Ira Musfirah)

Maka itu dengan pelancaran rasmi WGS hujung minggu ini, Dr Maliki yang memimpin usaha memajukan WGS berharap lebih ramai orang akan memanfaatkan bukan sahaja khidmat sosial tetapi juga prasarana yang sedia ada.

"Apa yang kita ingin galakkan ialah kumpulan-kumpulan seni, muda kita, pakcik, makcik kita yang merasa bahawa mereka ada rancangan yang ingin ditonjolkan, ada kegiatan yang ingin dilakukan, mereka digalakkan untuk ke WGS untuk merancangkan kegiatan-kegiatan ini bersama kita," tambahnya.

Pembukaan WGS akan dirasmikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong Sabtu ini (26 Jan). Sepanjang tiga hari bermula Jumaat ini (25 Jan), pelbagai aktiviti dan acara tersedia untuk seisi keluarga.

BERITAmediacorp selaku rakan media rasmi pelancaran WGS juga akan berada di sana. Ayuh berjumpa dengan kami dan anda berpeluang memenangi pelbagai cenderahati termasuk payung, buku dan thumbdrive.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan