Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WGS anjur Hari Masyarakat demi tingkat kesedaran awam tentang khidmat sosial ditawarkan

Kalau anda ke Wisma Geylang Serai (WGS) tadi, anda mungkin turut tersentuh dengan ceramah motivasi oleh Ustazah Liyana Musfirah dan dihiburkan oleh beberapa persembahan lain termasuk Didi & Friends yang membawa keceriaan kepada kanak-kanak.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kalau anda ke Wisma Geylang Serai (WGS) tadi, anda mungkin turut tersentuh dengan ceramah motivasi oleh Ustazah Liyana Musfirah dan dihiburkan oleh beberapa persembahan lain termasuk Didi & Friends yang membawa keceriaan kepada kanak-kanak.

Namun sebenarnya, Hari Masyarakat yang diadakan WGS hari ini (7 Apr) adalah satu cara untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang khidmat-khidmat sosial yang ditawarkan di bawah satu bumbung - atau lebih tepat lagi di Hab Kurnia@WGS.

Kelapan-lapan badan khidmat sosial di bawah hab tersebut, juga turun padang, untuk berkongsi dengan lebih lanjut tentang bagaimana orang ramai boleh mendapatkan khidmat masing-masing.

"Apa yang kami adakan hari ini adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada anggota masyarakat kita, kerana kita sering mengenal Geylang Serai sebagai satu tempat untuk mereka pergi pasar sahaja," kata Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Maliki yang menyerikan acara hari ini sebagai tetamu terhormat.

"Kedua, mereka berfikir WGS hanya untuk datang berhibur, mengikuti rancangan-rancangan yang dianjurkan. Tapi pada setiap hari - dari Isnin hingga Ahad - kita mempunyai khidmat-khidmat yang disediakan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) kita dan juga bukan MMO," tambah Dr Maliki lagi, yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa penasihat WGS.

SAMBUTAN DI KURNIA@WGS SEJAUH INI?

Ditanya pula tentang tahap kesedaran masyarakat Melayu tentang KURNIA@WGS, Dr Maliki berkata sejak hab itu ditubuhkan pada Nov 2018, sambutannya memang memberangsangkan.

Badan-badan Melayu/Islam di bawah KURNIA@WGS yang ditemui BERITAmediacorp turut akur dengan penilaian tersebut.

Malah, Pegawai Eksekutif Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) Encik Muhammad Haikal Zulkifli mengatakan bahawa mereka yang ke KURNIA@WGS datang dari sejauh kawasan Jurong.

"Sambutan amat memberangsangkan - semakin hari semakin ramai yang datang. Bukan sahaja mereka yang tinggal berdekatan. Ada juga yang datang dari Jurong untuk mendapatkan khidmat-khidmat sosial dan bantuan yang sedia ada," kata Encik Haikal.

Tabung Amal Aidilfitri (TAA) pula berkongsi dengan kami bahawa kini kian ramai yang menunjukkan minat untuk mengetahui tentang pengagihan wang yang dijalankan badan kebajikan itu.

"Para penerima sendiri yang datang untuk bertanya tentang TAA, tentang kedudukan pengagihan (bantuan). Kita juga kini mempunyai platform yang lebih luas untuk menyampaikan mesej-mesej yang kami rasakan perlu," kata Pengurus Kanan TAA Mohd Yahya Zakaria.

Hab KURNIA@WGS terletak di tingkat tiga bangunan itu.

Bersama-sama badan M³ (MUIS, MENDAKI & MESRA) yang ada di bangunan yang sama, khidmat bersepadu dapat disediakan bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Bermakna para penerima bantuan tidak perlu ke sana ke mari ke lebih daripada satu tempat untuk mendapatkan bantuan menyeluruh.

Dr Maliki menceritakan bagaimana sudah ada pelanggan yang sudahpun berkunjung ke pejabat MUIS di WGS untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Namun pelanggan yang sama juga perlukan khidmat keluarga bagi masalah mereka. Lantaran itu, MUIS langsung membawa mereka ke tingkat atas untuk berjumpa dengan Pusat Khidmat Keluarga Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Selain itu, tambah Dr Maliki, ada dalam kalangan kumpulan keluarga ini yang disalurkan kepada Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) ataupun Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) kerana mereka mempunyai anak-anak yang memerlukan biasiswa dan sebagainya.

Semua ini kata Datuk Bandar CDC Tenggara itu, akan memastikan bahawa "setiap anggota (keluarga) yang memerlukan bantuan tidak akan tercicir". 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan