Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga S'pura ini mahu tubuhkan dapur awam demi bantu ribuan mangsa gempa Lombok

Seorang lelaki Singapura dengan sendirinya berjaya mengumpulkan dana sekitar $27,000 daripada orang ramai sejauh ini, demi membantu mangsa-mangsa gempa di Lombok.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga S'pura ini mahu tubuhkan dapur awam demi bantu ribuan mangsa gempa Lombok

Encik Mohamad Tahar (bertopi biru) bersama isteri dan penduduk di sebuah kampung di Lombok. (Gambar-gambar: Mohamad Tahar Jumaat)

BERITAmediacorp: Seorang lelaki Singapura dengan sendirinya berjaya mengumpulkan dana sekitar $27,000 daripada orang ramai sejauh ini, demi membantu mangsa-mangsa gempa di Lombok, yang meranapkan lebih 13,000 buah rumah.

Encik Mohamad Tahar Jumaat kini akan menubuhkan dapur awam di Lombok untuk memberi makan kepada ribuan mangsa yang sekarang terkontang-kanting dek gempa dahsyat sekuat 6.9 Rickter itu.

(Gambar-gambar: Mohamad Tahar Jumaat)

Penduduk Pasir Ris itu memberitahu BERITAmediacorp, beliau terpanggil untuk menghulurkan bantuan setelah melalui sendiri pengalaman ngeri digoncang dengan kuat oleh sang bumi. Bukan sekali, tetapi dua kali dalam tempoh lapan hari di Lombok. Malah beliau dan isterinya, Cik Rosmawati Moenir, sedang berada di Lombok semasa kedua-dua gempa tersebut berlaku.

(Gambar-gambar: Mohamad Tahar Jumaat)

Pengarah syarikat iuva global itu, yang menganjurkan lawatan luar negara ke Lombok untuk para belia, sebenarnya sudah berada di pulau tersebut sejak 13 Julai lalu bagi menjalankan program kemasyarakatan bersama para mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS).

Namun lawatan itu terpaksa disingkatkan selepas gempa pertama sekuat 6.4 Rickter berlaku pada 29 Julai mengorbankan 17 orang. Sekalipun demikian, setelah memastikan para mahasiswa selamat berlepas pulang ke Singapura, Encik Mohamad Tahar dan isterinya memutuskan untuk terus berada di Lombok untuk menghulurkan bantuan.

LEBIH 400 KELUARGA SUDAH DIBANTU

Melihatkan keadaan penduduk yang sebahagiannya kehilangan tempat tinggal, Encik Mohamad Tahar segera berusaha mendapatkan dana dengan menguar-uarkannya melalui laman media sosialnya - Facebook dan Instagram.

(Gambar-gambar: Mohamad Tahar Jumaat)

Usahanya membuahkan hasil apabila jumlah yang dicapai setakat ini melebihi sasaran awal untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya $3,700. Dari 2 Ogos lalu sehingga semalam (7 Ogos), derma yang dikumpulkan melonjak kepada hampir $27,000.

Encik Mohamad Tahar memberitahu BERITAmediacorp, disebabkan jumlah mangsa yang begitu ramai, beliau terpaksa mengutamakan keluarga-keluarga yang rumahnya ranap untuk menerima sebahagian agihan wang derma tersebut. Setakat ini, lebih 400 buah keluarga sudah menerimanya.

“Tahap pertama kami memberi bantuan wang tunai sebanyak S$25 setiap keluarga yang rumah mereka ranap keseluruhannya. Ini adalah untuk membantu mereka membeli apa yang perlu dan juga sebagai (bantuan) psikososial untuk mereka. Mereka boleh membeli apa yang perlu untuk keluarga. Ini kita sudah berikan kepada 404 keluarga,” kongsi Encik Mohamad Tahar.

Sejauh ini beliau menganggarkan sekitar 106 orang sudah tampil menghulurkan derma, dengan 77 daripadanya adalah wanita. Sumbangan yang diterima, kata beliau, datang dari pelbagai lapisan masyarakat. Ini termasuk yang bukan muslim dan para suri rumah.

BARU 2 HARI PULANG S'PURA, PERGI LAGI KE LOMBOK

Hakikatnya, pasangan itu baru sahaja pulang ke Singapura pada Isnin (6 Ogos). Meskipun demikian, ternyata hatinya masih lagi berada di Lombok. Lantaran itu, sesingkat dua hari kemudian sahaja Encik Mohamad Tahar sekali lagi terbang ke Lombok hari ini (8 Ogos) - secara sendirian - untuk terus menghulurkan bantuan.

“Saya rasa saya belum menyelesaikan tugas di sana. Lagipun penting untuk saya terus bekerjasama dengan penduduk di tempatan, memberikan mereka motivasi serta inspirasi supaya mereka tidak berasa seperti ditinggalkan terkapai-kapai begitu sahaja,” ujar beliau yang pernah bertugas sebagai pengurus pembangunan antarabangsa.

Encik Mohamad Tahar sebenarnya sudah giat menjalankan program-program luar negara bersama para belia, khususnya di Lombok sejak tahun 2013 lagi. Lantaran itu, tidak hairanlah hatinya begitu terkesan dengan kemusnahan dan kesusahan yang menimpa para penduduk di sana.

Ini lebih-lebih lagi kerana masyarakat di sana banyak membantu beliau menjalankan program-program pemuliharaan alam. Beliau juga sudah menganggap sebilangan penduduk di sana sebagai keluarganya sendiri.

GEMPA KEDUA DAHSYAT!

Berkongsi tentang keadaan di Lombok selepas gempa kedua pada 5 Ogos lalu, Encik Mohamad Tahar menggambarkan kesannya sebagai lebih dahsyat berbanding gempa pertama.

“Salah sebuah kampung yang saya tinggalkan, sebelum ini tidak begitu teruk terjejas. Tapi sekarang musnah dan 8,700 orang di kampung itu sudah menjadi pelarian.

“Di bahagian utara yang sebelum ini tidak terjejas, kini tidak terkira jumlah orang yang terkorban dan banyak rumah runtuh. Makanan juga sukar diperolehi. Bantuan juga berkurangan disebabkan lebih banyak kawasan yang terjejas. Teruk sekali keadaannya sekarang,” kongsi beliau yang kali ini akan terus berada di Lombok sekitar tiga minggu lagi demi menghulurkan bantuan.

(Gambar-gambar: Mohamad Tahar Jumaat)

Apabila ditanya rancangan seterusnya untuk membantu para mangsa gempa, beliau yang akan ke Tanjung di Lombok Utara esok, memberitahu BERITAmediacorp, bahawa beliau mahu membina dapur awam untuk orang ramai.

“Kami ingin mulakan dapur sendiri. Nasi bungkus yang kami buat selepas gempa pertama ia dimasak oleh teman-teman dari Lombok Utara dan mereka agihkan. Tapi kini mereka juga terkena bencana ini. Jadi saya berazam membantu mereka menyiapkan dapur sementara yang dapat memasak makanan yang berkhasiat. Masalah yang timbul akibat gempa pertama adalah kekurangan makanan bergizi yang disediakan. Ramai anak-anak dan orang tua yang kini tidak sihat kerana memakan mi segera setiap hari,” tambah Encik Mohamad Tahar, yang berusia 50 tahun.

(Gambar: Mohamad Tahar Jumaat)

Selain itu, Encik Mohamad Tahar juga akan memulakan pembahagian bahan memasak seperti telur dan ikan kering serta program membeli sayuran dari petani untuk dimasak buat para penduduk.

(Gambar: Mohamad Tahar Jumaat)

RAYU LEBIH BANYAK BANTUAN KEWANGAN DEMI BANTU LEBIH RAMAI MANGSA

Yang pasti, Encik Mohamad Tahar bukanlah asing dengan kerja-kerja kemanusiaan. Sebelum ini BERITAmediacorp pernah membuat laporan mengenai usaha amal beliau berjalan kaki sejauh 100 kilometer, demi meningkatkan kesedaran awam tentang masalah pelarian sedunia dan badan kemanusiaan Free Food For All (FFFA).

“Saya tidak ambil sedikit pun daripada wang yang didermakan. Semua 100 peratus diberikan kepada para mangsa. Sebab itu saya tubuhkan syarikat saya sendiri supaya saya boleh tanggung diri saya sendiri semasa saya melakukan kerja-kerja kemanusiaan. Saya tidak menggunakan wang derma itu untuk perbelanjaan saya,” katanya.

(Gambar-gambar: Mohamad Tahar Jumaat)

Lebih banyak wang yang mengiringi beliau maka lebih banyak jugalah ihsan yang dapat beliau hulurkan kepada mangsa gempa tersebut yang meragut lebih 100 nyawa sejauh ini.

Oleh itu, usaha Encik Mohamad Tahar untuk mengumpulkan dana bagi membantu mangsa-mangsa gempa Lombok masih lagi diteruskan walaupun beliau sudah berangkat ke Lombok.

“Jika kita boleh mendapat lebih daripada itu (jumlah yang terkumpul sekarang), kita boleh agihkan kepada lebih ramai mangsa dan untuk jangka yang lebih panjang juga. Sekurang-kurangnya dua minggu selepas gegaran susulan. Untuk mereka pulang ke rumah semula akan mengambil masa lebih sebulan,” ujar beliau penuh harapan.

Encik Tahar juga tidak akan sendirian semasa menjalankan misi ini pada hari-hari mendatang, kerana isterinya Cik Rosmawati akan menyusul menyertainya di Lombok bagi misi kemanusiaan itu.  

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan