Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga S'pura ini antara yang bertuah dapat terbang pulang dari HK di bawah 'Travel Bubble'

Sepanjang bekerja dan bermastautin di Hong Kong selama 13 tahun, jarang-jarang warga Singapura, Cik Suhaini Anuar, 'terhalang' untuk kembali ke tanah air dan menziarahi keluarga. Beliau biasanya pulang bersama anak dan suami setidak-tidaknya setahun sekali.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sepanjang bekerja dan bermastautin di Hong Kong selama 13 tahun, jarang-jarang warga Singapura, Cik Suhaini Anuar, 'terhalang' untuk kembali ke tanah air dan menziarahi keluarga. Beliau biasanya pulang bersama anak dan suami setidak-tidaknya setahun sekali.

Namun dek pandemik COVID-19, sudah 16 bulan beliau tidak bertemu muka dengan ibu bapanya.

"Saya sepatutnya balik pada Disember tahun lepas tetapi COVID sudahpun berlaku. Jadi keluarga beritahu saya supaya duduk sahaja di Hong Kong. Semasa ibu bapa saya pula sepatutnya datang ke Hong Kong pada bulan Februari tahun ini, sekali lagi disebabkan COVID, semuanya terpaksa dibatalkan," cerita Cik Suhaini.

Cik Suhaini bersama ibu bapanya semasa di Singapura. (Gambar-gambar fail: Suhaini Anuar)

Bukan beliau sahaja yang terpaksa menahan rindu. Anaknya, Luq-Lucien Anuar Delion, yang baru berusia tujuh tahun juga tertunggu-tunggu saat untuk berjumpa atuk dan neneknya.

"Saya nak pulang ke Singapura kerana saya nak jumpa Atuk, Mak Tok sama Uncle Sham," ujar anak kacukan Melayu-Perancis itu dalam bahasa Melayu. Suami Cik Suhaini, iaitu Henry Delion, adalah seorang warga Perancis yang bekerja di Hong Kong.

Cik Suhaini bersama keluarga kecilnya. 

"Dia (Luq) rindu makan prata, rindu makanan Mak Tok dia. Dia rindu dengan basikal Atuknya," tambah Cik Suhaini.

Mujur, pintu bakal terbuka luas untuk Cik Suhaini menjejakkan kaki di Singapura bersama keluarga. Beliau bakal terbang ke sini pada bulan depan, di bawah Perjalanan Udara Aturan Khas atau 'Air Travel Bubble' (ATB) antara Singapura dengan Hong Kong yang berkuat kuasa Ahad (22 Nov).

SEBELUM INI MEMANG TIADA PELUANG UNTUK PULANG

Di bawah aturan khas tersebut, mereka yang melakukan perjalanan ke Singapura atau Hong Kong, tidak perlu menjalani kuarantin mahupun Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Hanya ada satu syarat - 72 jam sebelum berangkat, mereka yang melakukan perjalanan ini perlu diuji negatif COVID-19.

Sebagai permulaan, akan ada hanya satu penerbangan dari Singapura ke Hong Kong - dengan hanya maksimum 200 penumpang bagi setiap laluan. Begitu juga sebaliknya, hanya ada satu penerbangan dari Hong Kong ke Singapura dengan jumlah penumpang yang sama.

Semua kelonggaran inilah yang membuka laluan untuk Cik Suhaini pulang.

Cik Suhaini bersama anak dan ibu bapanya meluangkan masa bersama sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

"Saya tidak mempunyai cuti panjang. Jadi kalau saya pulang ke Singapura dan harus kuarantin 14 hari, kemudian balik ke Hong Kong dan kuarantin 14 hari... saya pulang itu hanya untuk berkuarantin sahajalah bukan untuk jumpa sesiapa pun," terang guru sekolah rendah ini yang pernah juga bekerja sebagai wartawan dan penyampai BERITA di Mediacorp.

"Sebab itulah kalau memang harus kuarantin saya memang tidak boleh pulang ke Singapura. Tapi dengan 'travel bubble' ini, saya memutuskan untuk pulang bersama anak saya."

Suami Cik Suhaini tidak dapat ikut ke Singapura disebabkan tuntutan kerja.

HARGA TIKET PENERBANGAN "LEBIH TINGGI"

Oleh kerana penerbangan dan tempat yang ditawarkan sangat terhad, harga tiket penerbangan yang perlu dibayar menjadi "lebih tinggi" daripada biasa. Cik Suhaini perlu membayar lebih S$2,000 bagi tiket untuk dirinya dan Luq.

"Saya tengok (harganya)... saya rasa tak apalah beli sajalah. Alhamdulillah keesokan harinya bila saya lihat semula, segala tiket semua sudah terjual dan saya rasa sangat beruntung lah dapat beli tiket," tambah Cik Suhaini.

Selain tiket penerbangan, ada kos lain yang perlu ditanggung. Tiga ujian swab yang perlu dijalaninya di Singapura dan Hong Kong berharga sekitar S$328. Jadi Cik Suhaini perlu membayar keseluruhannya lagi S$650 untuknya dan Luq.

Cik Suhaini bersama keluarga kecilnya di Hong Kong. 

Tapi perkara lain yang membelenggu fikirannya...

"Saya dengar-dengar ujian swab tak sakit tapi saya memang takut sakit. Kita tengok lah macam mana nanti, nangis ke tidak," seloroh beliau.

INGIN SEGERA PULANG TAHUN INI KERANA...

Cik Suhaini akur beliau sempat ragu-ragu untuk melakukan perjalanan di bawah aturan ini kerana "ingin lihat dahulu". Sungguhpun demikian, beliau akhirnya memutuskan untuk tidak lagi menunggu.

"Bila ada berita tentang 'travel bubble', saya bertanya dengan ibu bapa saya jika mereka mahu datang ke Hong Kong. Tetapi mereka berasa ragu-ragu kerana maklumlah mereka sudah berumur dan ada banyak protokol," kata Cik Suhaini.

Beliau juga khuatir sekiranya aturan khas ini 'tidak menjadi' sekiranya beliau memutuskan untuk pulang pada awal tahun depan.

"Jika kita imbas kembali apa yang berlaku, jumlah pesakit paling tinggi sekali pada musim perayaan Tahun Baru Cina. Jadi saya memutuskan untuk kembali sahaja ke Singapura pada bulan Disember ini kerana kita tidak tahu berapa lama 'travel bubble' ini akan terus berlangsung kan."

Cik Suhaini dijadual pulang bersama anaknya pada 21 Disember - tepat apabila musim cuti sekolah di Hong Kong bermula. Mereka merancang berada di sini sehingga 31 Disember.

RANCANG TIDAK BANYAK KELUAR DI S'PURA

Ditanya apakah rancangannya apabila tiba di Singapura nanti, Cik Suhaini berkata beliau kali ini akan meluangkan lebih banyak masa dengan keluarganya. Beliau antara lain masih bimbang tentang situasi COVID-19 ini.

"Selalunya kalau balik Singapura memang macam-macam rancangan. Nak jumpa kawan, nak jumpa sedara. Tapi saya rasa kali ini balik saya mahu duduk di rumah 'lepak' bersama ibu bapa.

Keluarga Cik Suhaini di Singapura.

"Satu memang bimbang tentang COVID. Memandangkan saya menaiki kapal terbang, kita dalam ruang terbatas. Harap semuanya akan baik-baik sahaja.

"Jadi saya harap kawan-kawan kalau nak jumpa saya, datang ke rumahlah," kata Cik Suhaini sambil ketawa.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan