Images

Warga S'pura berusia 12-39 tahun boleh daftar bagi vaksinasi COVID-19 mulai 11 Jun

SINGAPURA: Warga Singapura berusia 12 hingga 39 tahun boleh mendaftar online bagi vaksinasi COVID-19 mereka mulai Jumaat (11 Jun), menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (10 Jun).

"Kumpulan ini besar dengan 1.5 juta rakyat yang belum divaksinasi," kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dalam sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian bagi COVID-19 hari ini.

Kanak-kanak berusia 12 tahun harus tunggu selepas tarikh ulang tahun mereka sebelum layak menempah janji temu, tambah MOH.

Di bawah program vaksinasi negara, kanak-kanak atau anak jagaan di bawah usia 18 tahun memerlukan izin ibu bapa atau penjaga mereka untuk menempah janji temu vaksinasi. Ibu bapa atau penjaga mereka boleh mendaftarkan minat bagi anak atau anak jagaan mereka untuk menerima vaksinasi melalui laman vaccine.gov.sg.

"Ibu bapa atau penjaga diingatkan supaya memastikan anak/anak jagaan mereka membawa bersama bukti dokumen keizinan mereka di pusat vaksinasi bagi mendapatkan vaksinasi," tambah MOH.

Ibu bapa atau penjaga tidak perlu menemani anak atau anak jagaan mereka yang berusia 13 tahun ke atas pada hari vaksinasi tersebut.

Encik Ong berkata mereka yang menempah janji temu di pusat yang menawarkan vaksin Moderna kemungkinan besar akan mendapat slot lebih awal memandangkan pelajar lebih muda hanya boleh mendapatkan suntikan Pfizer-BioNTech.

MOH menyatakan mereka mendaftarkan minat akan dipelawa secara bertahap-tahap untuk menempah janji temu vaksinasi mereka melalui SMS dengan pautan tempahan khas dikirimkan kepada nombor telefon yang didaftarkan.

"Mereka boleh menjangkakan kiriman SMS ini beberapa hari selepas membuat pendaftaran," jelas MOH.

"Bagaimanapun, kami mohon anda sabar dan faham bahawa SMS itu mungkin mengambil sehingga dua minggu buat beberapa orang apabila lebih banyak slot janji temu bagi vaksinasi akan disediakan sedang bekalan tiba."

Mereka yang sudah mendaftarkan hasrat mereka sebelum ini di vaccine.gov.sg tidak perlu mendaftar lagi. Pelawaan untuk mendaftar akan diperluaskan kelak kepada baki penduduk dalam masa beberapa bulan akan datang, tambah MOH.

VAKSINASI BAGI PESAKIT COVID-19 YANG SUDAH PULIH

MOH juga mengesyorkan satu dos vaksin bagi mereka yang sebelum ini pernah dijangkiti COVID-19 dan kini sudah pulih.

"Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa satu dos akan meningkatkan imuniti mereka terhadap COVID-19," jelasnya.

Oleh kerana daya imuniti individu yang pernah dijangkiti koronavirus masih kuat dalam tempoh enam bulan pertama mereka pulih daripada jangkitan itu, MOH menyatakan keutamaan diberi kepada mereka yang dijangkiti COVID-19 lebih dari enam bulan yang lalu.

Mereka boleh mendaftar mulai Jumaat sekiranya tergolong dalam kumpulan penduduk yang layak mendapat vaksinasi, tambah MOH.

PROGRAM VAKSINASI LANCAR

Sehingga 9 Jun, MOH sudah mengendalikan lebih 4.4 juta dos vaksin COVID-19.

Kira-kira 2.5 juta orang menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin mereka. Dalam kalangan itu sekitar 1.9 juta orang menerima dos kedua mereka.

Kadar pengambilan secara keseluruhan juga meningkat, menurut MOH.

Encik Ong berkata ini bermakna sekitar 44 peratus penduduk Singapura sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Kami kini menggunakan sekitar 49,000 dos setiap hari. Dan kami mampu terus mempercepatkan pengagihan vaksin ini jika bekalan stabil dan terus tiba," tambahnya.

MOH menyatakan vaksinasi dapat membantu Singapura dibuka semula dengan selamat apabila negara ini secara bersama mencapai perlindungan yang tinggi.

"Kelonggaran lanjut seperti bagi jumlah saiz perhimpunan dan acara, had kapasiti, syarat jarak selamat, pemakaian pelitup dan perjalanan akan dilaksanakan apabila terdapat cukup jumlah penduduk yang sudah divaksinasi sepenuhnya, terutama bagi mereka yang diberi vaksin," tambah kementerian itu.

- CNA/RU/TQ/tq

Top