Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga, PR yang pulang perlu diuji negatif COVID-19, 72 jam sebelum berangkat

Warga Singapura dan penduduk tetap perlu menunjukkan hasil negatif bagi ujian reaksi rantai polimerase (PCR) COVID-19 yang sah, 72 jam sebelum mereka berangkat ke Singapura, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (26 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Warga, PR yang pulang perlu diuji negatif COVID-19, 72 jam sebelum berangkat

Seorang kakitangan di Zon 1 Lapangan Terbang Changi pada 24 Mei 2021 (Gambar: Gwyneth Teo)

Diterbitkan : 27 May 2021 12:09AM Dikemas Kini : 27 May 2021 12:39AM

SINGAPURA: Warga Singapura dan penduduk tetap perlu menunjukkan hasil negatif bagi ujian reaksi rantai polimerase (PCR) COVID-19 yang sah, 72 jam sebelum mereka berangkat ke Singapura, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (26 Mei).

Mulai 11.59 malam 29 Mei, semua warga Singapura dan penduduk tetap, kecuali mereka yang tinggal di negara dan wilayah berisiko lebih rendah selama 21 hari sebelum keberangkatan, perlu menunjukkan hasil ujian negatif. Hanya selepas itu mereka akan dibenarkan menaiki penerbangan atau feri ke Singapura, kata MOH.

Negara dan wilayah yang dianggap berisiko lebih rendah adalah Australia, Brunei, tanah besar China, New Zealand, Hong Kong dan Macau.

"Semua pelawat juga dikehendaki menunjukkan hasil ujian PCR COVID-19 yang sah di pusat pemeriksaan udara, laut dan darat apabila tiba di Singapura," menurut MOH.

Mereka yang tiba di Singapura tanpa keputusan ujian negatif yang sah mungkin akan dilarang masuk, tambah MOH. Permit atau pas penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang gagal mematuhi peraturan baru itu boleh dibatalkan.

Sejak November tahun lalu, semua pemegang pas jangka panjang dan pengunjung pas jangka pendek yang memasuki Singapura dikenakan syarat ujian PCR negatif COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat ke Singapura.

"Kami sebelum ini tidak menetapkan syarat itu ke atas warga dan penduduk tetap Singapura, kerana tidak mahu menyukarkan mereka pulang dengan cepat, seandainya keadaan pandemik menjadi semakin teruk di luar negara," jelas MOH.

Sekarang ini, warga dan penduduk tetap perlu menjalani ujian PCR semasa tiba di Singapura disusuli dengan dengan Notis Jangan Keluar Rumah di kemudahan yang dikhaskan.

DAPATKAN RAWATAN PERUBATAN SEBELUM PERJALANAN

Pelawat yang hasil ujian PCR COVID-19 mereka disahkan positif harus mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya dan memastikan mereka sudah pulih sepenuhnya dan tidak berjangkit sebelum melakukan perjalanan ke Singapura, menurut MOH.

"Warga Singapura yang disahkan positif COVID-19 semasa berada di luar negara dan memerlukan rawatan perubatan segera di Singapura masih boleh pulang ke Singapura melalui penerbangan medevac atau bentuk pengangkutan lain yang seumpamanya," kata MOH.

"Pasukan bertindak berbilang kementerian sedang memantau keadaan COVID-19 sejagat, dan secara kerap menyemak langkah-langkah sempadan Singapura," tambah MOH.

"Sejak beberapa minggu yang lalu, keadaan global semakin teruk, dan kami telah melihat kemunculan varian baru yang berpotensi lebih mudah berjangkit.

"Untuk menguruskan risiko kes import dan penularan seterusnya dalam kalangan masyarakat, kami akan mengemaskini syarat ujian sebelum berangkat."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan