Images
  • nz mosque visit
    (Gambar-gambar: Masjid Al-Falah, Masjid Al-Huda)

Warga NZ di S'pura bina jambatan dengan masyarakat Islam berikutan serangan Christchurch

BERITAmediacorp: Meskipun berada ribuan kilometer dari tempat kejadian, beberapa warga New Zealand di Singapura yang begitu terkesan dengan serangan pengganas yang berlaku di tanah air mereka pada Jumaat (15 Mac) mengambil masa untuk mengunjungi masjid-masjid setempat.

Mereka menzahirkan perpaduan dengan masyarakat Islam seiring dengan luahan sokongan dan bantuan yang dihulurkan ramai anggota masyarakat bukan Islam di merata dunia menyusuli serangan tembakan pengganas di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch yang meragut 50 nyawa.

MASJID-MASJID S'PURA TERIMA KUNJUNGAN

Salah sebuah masjid yang menerima kunjungan warga New Zealand adalah Masjid Khalid di Joo Chiat Road.

Ketika dihubungi pihak BERITAmediacorp, pengerusi masjid tersebut Encik Alla'udin Mohamed memberitahu bahawa Masjid Khalid menerima kunjungan lewat petang semalam oleh sebuah keluarga di Singapura yang berasal dari Christchurch, New Zealand.


(Gambar-gambar: Ihsan Masjid Khalid)

Dalam sepucuk nota yang ditujukan kepada masyarakat Islam setempat, keluarga yang meninggalkan nama mereka sebagai Tom, Jette dan Molly itu melahirkan rasa "terkejut" serta mengutuk keras kejadian yang mereka sifatkan sebagai "jenayah tidak masuk akal, kejam dan bersifat kebencian ke atas saudara-mara anda di sana semalam".

Dalam nota yang diiringi oleh beberapa kuntum bunga itu, mereka turut menulis:

"Saya menulis untuk memohon maaf kepada anda semua. Saya menulis untuk memberitahu anda bahawa ingatan saya dan keluarga - di sini dan di Christchurch, bersama-sama anda di masa-masa tragedi yang sulit dibayangkan ini."

Pengerusi Masjid Khalid, Encik Allaudin Mohamed berkata sedang masyarakat Islam berasa sedih dengan tindakan tidak munasabah segelintir individu, sokongan seperti yang ditunjukkan warga New Zealand yang berkunjung ke Masjid Khalid itu, amat dihargai.

Kami amat berbesar hati menerima nota takziah dan bunga dari seorang penduduk Singapura (berasal dari New Zealand) yang menyampaikan rasa simpati terhadap masyarakat kami akibat insiden di Christchurch.

Selain Masjid Khalid, Masjid Al-Falah dan Al-Huda turut menerima kunjungan dari warga New Zealand di sini.

"INGIN TAHU LEBIH LANJUT TENTANG ISLAM"

Dalam catatan di laman Facebook, Masjid Al-Falah di Orchard Road berkongsi tentang kunjungan seorang lelaki yang menyampaikan takziah serta menunjukkan sokongan terhadap masyarakat Islam selepas kejadian tersebut.


Seorang pengguna Facebook bernama Grame Merrall yang memperkenalkan dirinya sebagai lelaki itu, menulis komen di catatan itu menyatakan ia merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke sebuah masjid, namun beliau tergerak melakukan sedemikian untuk memberi penghormatan kepada para mangsa yang beliau sifatkan sebagai 'saudara-mara' ("my brothers and sisters").

"Saya tidak pernah ke masjid sebelum ini namun ini suatu perkara yang saya rasa penting untuk saya lakukan.

"Lelaki yang meragut nyawa 49 saudara-mara anda telah gagal. Tindakannya mengeratkan hubungan kita, bukan mencetuskan jurang. Saya ingin berkunjung lagi untuk belajar lebih lanjut tentang Islam jika anda sudi (terima kunjungan saya)," tulis Encik Merrall.

Sejak komen beliau itu ditulis jumlah korban serangan di Christchurch telah meningkat kepada 50 orang.

Masjid Al-Huda di Bukit Timah pula menerima kunjungan oleh Cik Kim Forrester, seorang warga New Zealand, yang berkunjung untuk "memohon maaf bagi pihak warga New Zealand" dan menyampaikan "keprihatinan dan simpati" terhadap masyarakat Islam menyusuli insiden tembakan di Christchurch.


"INI BUKAN NEW ZEALAND"

Di New Zealand pula, para penduduk beramai-ramai menunjukkan sokongan mereka terhadap keluarga mangsa dan masyarakat Islam.

Gambar-gambar yang diambil oleh seorang pelajar Singapura yang menuntut di New Zealand, Abdul Aziz Safudin dan rakannya dari Malaysia Siti Noor Muneerah dan dimuatnaik ke laman Facebook Pusat Harmoni di Masjid An-Nahdah, Singapura, menunjukkan mesej-mesej yang merakamkan rasa dukacita serta kutukan terhadap serangan itu.


"Kami (warga New Zealand), bersatu dalam perjuangan menentang kebencian, perkauman dan kejahilan. Saya ingin tekankan kepada anda, masyarakat Islam adalah sebahagian masyarakat kami," menurut Cik Lia Messina dalam notanya.

"Saya turut berduka-cita bersama masyarakat Islam."

Dalam satu lagi nota, seorang warga kota Hamilton menekankan: "Ini bukan New Zealand yang sepatutnya.

"Pengganasan berhaluan kanan dan Islamofobia perlu dibanteras.

"Kami amat menyayangi dan menghargai anda". 

- BERITAmediacorp/tq

Top