Images
  • drugs
    Antara dadah yang  dirampas. (Gambar: CNB)

Warga M'sia ditangkap selepas dadah ditemui dalam bas di Woodlands

SINGAPURA: Seorang warga Malaysia ditangkap Sabtu lalu (25 Nov) selepas dadah ditemui tersembunyi dalam sebuah bas penumpang yang berdaftar di Singapura, yang tiba di Pusat Pemeriksaan Woodlands pagi itu.

Sekitar 8.30 pagi, para pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menemui sekitar 31 gram dadah Ice, 25 pil Ecstasy, 10 "pil berwarna hitam" dan enam botol "cecair yang disyaki mengandungi dadah terkawal", menurut pihak penguasa itu dalam satu kenyataan bersama dengan Biro Narkotik Pusat (CNB).

Dadah tersebut ditemui tersembunyi di "panel bahagian kiri" dan di bawah tempat duduk bas itu, menurut kenyataan berkenaan.

Dengan menggunakan rakaman kamera yang terdapat dalam bas itu, para pegawai mengenal pasti lelaki yang disyaki sebagai pengimport dadah dan menahannya sedang dia cuba meninggalkan Singapura dari Pusat Pemeriksaan Woodlands. Dia seorang warga Malaysia berusia 29 tahun.

Mediacorp difahamkan bahawa lelaki tersebut merupakan salah seorang penumpang bas itu.

Individu yang sabit kesalahan mengimport secara haram dadah terkawal Class A boleh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun dan hukuman sebat sebanyak lima kali.  

- CNA/SM/sm

Top