Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga emas, individu kurang imuniti jangkitan akan diberi suntikan perangsang vaksin COVID-19

Singapura akan memberi suntikan perangsang vaksin COVID-19 kepada individu kurang daya tahan jangkitan (immunocompromised) tahap sederhana hingga teruk, warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta penghuni di kemudahan jagaan warga senja.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Sep 2021 07:58PM Dikemas Kini : 03 Sep 2021 10:24PM

SINGAPURA: Singapura akan memberi suntikan perangsang vaksin COVID-19 kepada individu kurang daya tahan jangkitan (immunocompromised) tahap sederhana hingga teruk, warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta penghuni di kemudahan jagaan warga senja.

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Jawatankuasa Pakar Mengenai Vaksinasi COVID-19 telah menilai peri perlunya suntikan dos ketiga, kata pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian Gan Kim Yong pada Jumaat (3 Sep).

Jawatankuasa pakar telah menyarankan, dan MOH bersetuju, untuk memulakan program suntikan dos ketiga bagi kumpulan penduduk itu.

Warga emas berisiko menghidap jangkitan COVID-19 yang teruk dan mungkin mengalami tindak balas daya tahan yang lebih rendah daripada rejimen vaksinasi dua dos mereka, jelas MOH. Daya tahan mereka juga dijangka semakin merosot dari semasa ke semasa, kerana ramai menjalani suntikan vaksin lebih awal, tambah kementerian itu.

Mereka harus menerima dos perangsang vaksin mRNA sekitar enam hingga sembilan bulan setelah lengkap menjalani rejimen vaksinasi pertama mereka.

Ini bagi "memastikan tahap perlindungan yang lebih tinggi daripada jangkitan dan tahap perlindungan yang berterusan terhadap penyakit yang teruk, serta mengurangkan kemungkinan lonjakan jangkitan dan lebih ramai orang sakit teruk", tambah MOH.

Sekitar lapan bulan sudah berlalu sejak kumpulan pertama warga emas berusia 60 tahun dan ke atas lengkapkan dos kedua suntikan pada Mac di bawah program vaksinasi nasional.

Mereka akan layak mendapat dos ketiga bulan ini, umum MOH, sambil menambah bahawa perincian lanjut mengenai pelaksanaan suntikan perangsang akan diumumkan kelak.

INDIVIDU DENGAN KURANG DAYA TAHAN JANGKITAN

Mereka yang ada masalah imuniti mempunyai "tindak balas daya tahan lebih rendah" terhadap vaksinasi, dan juga berisiko lebih tinggi menghidap penyakit lebih teruk akibat COVID-19, kata MOH.

"Individu-individu ini disaran menerima dos ketiga vaksin mRNA yang sama dua bulan setelah dos kedua rejimen vaksinasi utama mereka untuk memastikan mereka mempunyai tindak balas imun pelindung yang mencukupi terhadap vaksinasi," kata MOH.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata individu yang kurang daya tahan jangkitan ini akan dihubungi oleh doktor mereka.

Encik Ong menambah bahawa dengan adanya varian baru, terdapat lebih banyak jangkitan walaupun sudah divaksinasi, dan kekuatan perlindungan merosot sedang antibodi semakin berkurangan saban masa.

Bagaimanapun beliau menekankan, vaksin masih kekal berkesan terhadap jangkitan teruk dan kematian.

Beberapa negara sudah mulakan atau merancang untuk memberi suntikandos ketiga kepada penduduk mereka, termasuk Israel, United Kingdom, Jerman dan Perancis.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS juga telah meluluskan dos ketiga untuk individu yang kurang daya tahan terhadap jangkitan dan sedang mempertimbangkan cadangan untuk warga emas.

Encik Ong berkata 81 peratus penduduk Singapura sudah lengkap rejimen vaksinasi mereka.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan