Images
  • sg covid elderly vaccine
    Seorang warga emas mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di pusat vaksinasi Pusat Masyarakat Senja-Cashew pada 22 Feb 2021. (Gambar: Hani Amin)

Warga emas di rumah jagaan terima suntikan perangsang vaksin COVID-19 mulai hari ini

SINGAPURA: Warga emas di rumah-rumah jagaan akan mula menerima suntikan perangsang COVID-19 mulai hari ini (15 Sep).

Demikian diumumkan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung semalam (14 Sep).

Sekitar 140,000 warga emas akan menerima kiriman SMS dalam beberapa hari akan datang untuk membuat temu janji bagi mendapatkan dos perangsang di pusat-pusat vaksinasi, poliklinik atau klinik kesediaan kesihatan awam yang terlibat, menurut Encik Ong dalam satu catatan Facebook semalam.

Encik Ong menambah bahawa kumpulan vaksinasi bergerak dan di rumah diaktifkan sepenuhnya dan akan melakukan lawatan untuk memberi vaksin kepada mereka yang tidak dapat keluar rumah.

Dua kemudahan baru jagaan masyarakat, dengan keupayaan untuk menampung 1,000 katil, juga akan dibuka menjelang hujung bulan ini, kata Encik Ong.

"Mulai hari ini, kami menambah lagi 300 katil hingga 1,300 katil pengasingan bagi kes-kes COVID-19 di NCID dan hospital-hospital," katanya.

Encik Ong mengingatkan orang awam bahawa klinik GP dan poliklinik harus menjadi "tempat rujukan pertama" bagi masalah perubatan yang kurang mendesak.

"Ini akan dapat membantu jabatan kecemasan untuk mengutamakan rawatan bagi kes-kes serius," katanya.

Pengumuman oleh Encik Ong dibuat sehari selepas sebuah kelompok jangkitan COVID-19 yang besar sebanyak 28 kes di kesan di rumah jagaan Ren Ci di Bukit Batok.

Setakat pagi Isnin (13 Sep), seramai lapan kakitangan dan 20 penghuni rumah-rumah jagaan dijangkiti koronavirus. Dalam kalangan mereka yang diuji positif, hanya seorang penghuni yang belum divaksin.

- CNA/HA/ha

Top