Warga emas 70 tahun dan ke atas mula menerima vaksin COVID-19
Singapura mengorak selangkah lagi untuk memastikan semua penduduknya menerima suntikan vaksin melawan COVID-19 tahun ini.
SINGAPURA: Singapura mengorak selangkah lagi untuk memastikan semua penduduknya menerima suntikan vaksin melawan COVID-19 tahun ini.
Gerakan suntikan untuk golongan berusia 70 tahun dan ke atas bermula secara rasmi hari ini (22 Feb), menandakan satu lagi fasa dalam program vaksinasi negara ini.
Kelab Masyarakat Senja-Cashew adalah satu daripada 14 pusat vaksinasi di seluruh negara.
Ia dikendalikan Thomson Medical yang juga mengendalikan pusat vaksinasi di Bishan.
Pusat tersebut boleh menampung sekitar 2,000 pengunjung setiap hari kerana mempunyai dewan yang besar.
Namun begitu, beberapa warga emas didapati tidak sesuai untuk menerima suntikan vaksin mereka kerana reaksi alahan yang teruk terhadap makanan atau ubat-ubatan tertentu sebelum ini.
Pegawai perubatan di pusat tersebut menekankan tentang pentingnya warga emas mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 kerana ia dapat melindungi diri sendiri dan mereka yang tidak sesuai untuk disuntik selagi imuniti kelompok belum dapat diwujudkan.
Dalam tempoh tiga minggu akan datang, golongan berusia 70 tahun dan ke atas akan menerima surat mempelawa mereka mendapatkan suntikan itu.
Selain pusat vaksinasi, poliklinik dan Klinik Persediaan Kesihatan Awam (PHPC) terpilih juga berfungsi sebagai tapak vaksinasi.
Kementerian Kesihatan (MOH) kemudiannya akan mengundang golongan berusia 60 hingga 69 tahun untuk mendapatkan suntikan vaksin mulai akhir bulan depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.