Images
  • NDR Masjid Yusof Ishak
    Masjid Yusof Ishak. (Gambar: MUIS)

Warga emas 60 tahun ke atas 'sangat tidak digalakkan' hadiri kegiatan keagamaan: MCCY

SINGAPURA: Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas "sangat tidak digalakkan" menghadiri atau menyokong kegiatan keagamaan selama sebulan ini, meskipun mereka sudah lengkap divaksin, menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada Sabtu (25 Sep).

"Warga emas juga harus ambil suntikan dos ketiga vaksin jika mereka layak," tambah MCCY dalam garis panduan bagi kegiatan di tempat ibadat, yang dikemas kini sehari selepas pasukan bertindak pelbagai kementerian COVID-19 mengumumkan langkah-langkah pengurusan selamat masyarakat yang diperketat.

Bermula Isnin hingga 24 Oktober, peserta kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan yang lain, termasuk bukan berjemaah juga dihadkan kepada maksimum dua orang dalam satu kumpulan, dari lima sekarang.

Jumlah maksimum yang dibenarkan bagi ibadah berjemaah tidak berubah, kekal sebanyak 50 orang jika mereka tidak divaksinasi dan sehingga 1,000 jemaah jika lengkap divaksin.

Had dua orang setiap kumpulan turut dilaksanakan bagi upacara pengebumian, penghormatan terakhir (wake) dan upacara selepas pengebumian di tempat-tempat ibadat.

Sehingga 30 orang dibenarkan menghadiri upacara tersebut pada satu-satu masa.

Kunjungan ke tempat menyimpan abu jenazah di tempat-tempat ibadat tidak boleh melebihi kumpulan lebih dua orang dan harus "dilakukan sesingkat mungkin", kata MCCY.

Selain itu, kegiatan keagamaan bukan berjemaah seperti kelas agama bagi mereka yang berusia 12 tahun ke bawah akan digantung sehingga 10 Oktober.

Badan-badan keagamaan masih boleh terus menjalankan upacara keagamaan dan kegiatan lain, seperti kelas bagi kanak-kanak yang berusia lebih 12 tahun selagi ia dihadkan kepada 50 orang, dengan hadirin duduk dalam kumpulan tidak lebih dua orang.

"Sebagai amalan terbaik, kami menggalakkan jarak lebih luas 2 meter antara kumpulan pelajar yang menghadiri kelas agama," kata MCCY, sambil menambah seberapa boleh badan-badan keagamaan "sangat digalakkan" mengadakan kelas secara online.

Tempat ibadah juga boleh terus digunakan untuk menjalankan upacara akad nikad dengan hingga 50 hadirin.

Ini termasuk pasanagn pengantin jika terdapat jemputan yang tidak divaksin dan sehingga 1,000 hadirin yang sudah divaksin.

LANGKAH TAMBAHAN BAGI KAKITANGAN TEMPAT IBADAT

Kementerian tersebut turut menggalakkan semua kakitangan keagamaan dan sokongan, termasuk pekerja pembersihan dan sukarelawan, untuk menjalani ujian pantas antigen (ART) kendiri sebelum ditugaskan di lokasi semasa tempoh ini, walaupun jika mereka sudah lengkap divaksin.

Seperti diumumkan pada Jumaat, kerja dari rumah adalah aturan pilihan, dan pekerja keagamaan dan kakitangan pentadbirannya harus patuh dengan langkah ini, menurut MCCY.

"Sekatan terhadap kerahan berbilang tapak kerja masih dikekalkan," tambah kementerian itu.

Langkah-langkah diperketat itu diumumkan di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat menyatakan ia akan menyemak langkah-langkah tersebut dua minggu setelah dilaksanakan dan memperhalusinya berdasarkan keadaan masyarakat pada waktu itu.

- CNA/TQ/tq

Top