Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga China yang ditahan di hospital akibat pneumonia disahkan tiada kaitan wabak Wuhan

Kes lelaki warga China yang mengalami pneumonia yang ditahan dan diasingkan di Singapura selepas melakukan perjalanan ke Wuhan, tiada kaitan dengan wabak di China, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Anggaran Waktu Membaca:
Warga China yang ditahan di hospital akibat pneumonia disahkan tiada kaitan wabak Wuhan

Doktor memeriksa nadi pesakit. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 11 Jan 2020 11:27PM Dikemas Kini : 11 Mar 2020 11:43AM

SINGAPURA: Kes lelaki warga China yang mengalami pneumonia yang ditahan dan diasingkan di Singapura selepas melakukan perjalanan ke Wuhan, tiada kaitan dengan wabak di China, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

"Siasatan epidemiologi, penilaian klinikal dan hasil ujian makmal dari kes disyaki ... mendapati kes itu tiada kaitan dengan kelompok penularan pneumonia di Wuhan," menurut kementerian itu dalam satu kemas kini pada Sabtu (11 Jan).

Seramai 41 orang dengan gejala-gejala seperti pneumonia setakat ini didiagnosis dengan virus baru di Wuhan. Seorang daripada mereka meninggal dunia akibat penyakit itu, manakala tujuh lagi dalam keadaan kritikal.

Penyakit pernafasan itu dipercayai disebabkan oleh virus baru dari kelompok yang sama seperti SARS, yang lebih sedekad lalu meragut ratusan nyawa.

MOH dalam kenyataannya pada Sabtu menyebut bahawa lelaki berusia 26 tahun itu juga diuji negatif untuk virus korona.

Virus korona adalah keluarga besar virus yang boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan seperti selesema biasa hingga ke Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS). Sesetengah jenis virus menyebabkan penyakit yang lebih ringan, sementara sesetengah yang lain - seperti yang menyebabkan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) - adalah jauh lebih teruk.

Kementerian itu menyatakan pihaknya akan terus memantau keadaan dengan rapi.

"Oleh kerana para pengamal perubatan sedang memantau kes-kes pneumonia yang baru-baru ini pulang dari Wuhan, Singapura berkemungkinan akan menyaksikan lebih banyak kes yang disyaki yang perlu disiasat untuk menentukan kemungkinan kaitan dengan kelompok Wuhan," katanya.

MOH juga menggesa orang ramai agar terus berwaspada dan mengamalkan amalan kebersihan peribadi yang baik.

Mereka yang pernah membuat perjalanan ke Wuhan perlu memantau kesihatan mereka dengan teliti dan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mereka berasa tidak sihat, dan juga memberitahu doktor tentang sejarah perjalanan mereka, tambah MOH.

Ini adalah kes kedua di Singapura tahun ini, selepas seorang gadis warga China berusia tiga tahun yang dijangkiti pneumonia dimasukkan ke hospital pada Sabtu lalu. Pada Ahad, kondisi gadis itu disahkan sebagai tiada kaitan dengan kelompok penularan pneumonia di Wuhan dan dia mengalami penyakit virus kanak-kanak yang biasa.

Kedua-dua budak perempuan itu dan lelaki tersebut didapati tidak pernah melawat pasar borong makanan laut Huanan yang dikaitkan dengan penularan Wuhan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan