Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita tipu sistem SafeEntry, guna token TraceTogether anak saudara masuk pusat beli-belah

Seorang wanita didakwa menggunakan token TraceTogether milik anak saudaranya untuk memasuki dua pusat beli-belah dan sebuah perpustakaan, sedangkan dia sepatutnya menjalani pengasingan kendiri di rumah sementara menanti keputusan ujian tindak balas berantai polimerase (PCR).

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita tipu sistem SafeEntry, guna token TraceTogether anak saudara masuk pusat beli-belah

Token TraceTogether bersebelahan sebuah telefon bimbit yang memaparkan aplikasi. (Gambar fail: Agensi Teknologi Pemerintah Singapura.)

Diterbitkan : 12 Nov 2021 01:05PM Dikemas Kini : 12 Nov 2021 01:06PM

SINGAPURA: Seorang wanita didakwa menggunakan token TraceTogether milik anak saudaranya untuk memasuki dua pusat beli-belah dan sebuah perpustakaan, sedangkan dia sepatutnya menjalani pengasingan kendiri di rumah sementara menanti keputusan ujian tindak balas berantai polimerase (PCR).

Priscilla Tan Siew Sin, 34 tahun, hari ini (12 Nov) dikenakan tiga tuduhan kerana menipu sistem SafeEntry.

Dia dituduh menggunakan token TraceTogether milik anak saudaranya untuk memasuki The Poiz Centre sekitar pukul 7.50 malam pada 30 April dan menggunakan token yang sama untuk memasuki Perpustakaan The Esplanade sekitar pukul 5.20 petang pada 2 Mei.

Sekitar setengah jam kemudian, dia didakwa menggunakan token anak saudaranya sekali lagi untuk memasuki Marina Square.

Dia dituduh mewakili diri sendiri sebagai anak saudaranya dan secara tidak jujur memperdaya sistem SafeEntry untuk tidak mencatat rekod kemasukan dirinya ke lokasi-lokasi berkenaan.

Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak mendedahkan bagaimana dia ditangkap.

Menurut kenyataan polis, Tan diarahkan oleh syarikatnya supaya menjalani pengasingan kendiri di rumah setelah dia berhubung rapat dengan seorang pesakit COVID-19, sementara menanti keputusan ujian PCR.

Sebaliknya, dia dipercayai menggunakan token anak saudaranya untuk memasuki premis-premis tersebut sepanjang dua hari.

Polis menyatakan pihaknya memandang serius terhadap "perbuatan tidak bertanggungjawab sedemikian", terutama sekali di tengah-tengah situasi COVID-19 kini.

"Setiap orang harus memainkan peranan untuk menjalankan tanggungjawab sosial dan orang awam dinasihatkan supaya memandang serius langkah-langkah pengurusan selamat sedia ada," menurut polis.

Tan dibebaskan dengan ikat jamin S$3,000 dan akan dihadapkan semula ke mahkamah pada Disember.

Jika disabit kesalahan menipu, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan didenda bagi setiap tuduhan yang dikenakan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan