Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita sanggup jalan kaki dari M'sia ke S'pura urus suami sakit

Seorang wanita 60-an tahun baru-baru ini tular di media sosial kerana sanggup melintasi Koswe dengan berjalan kaki meskipun mempunyai sakit kaki dan usianya yang agak lanjut, demi keluarganya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika diberi pilihan antara duduk berehat dalam keselesaan rumah atau berjalan berkilometer jauhnya, pasti ramai yang akan memilih pilihan pertama. Namun tidak bagi seorang wanita 60-an tahun yang baru-baru ini tular di media sosial kerana sanggup melintasi Koswe dengan berjalan kaki meskipun mempunyai sakit kaki dan usianya yang agak lanjut.

Kisahnya mula tular apabila anak beliau, pengguna akaun Facebook bernama Herman Sudil, memuat naik gambar perjalanan ibunya yang berjalan kaki dari Johor Bahru ke Singapura.

Wanita warga Singapura itu melakukan perjalanan itu kerana tiada kenderaan dibenarkan melintasi Koswe semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan Malaysia, jelas Encik Herman dalam catatan Facebooknya.

Beliau menceritakan sebelum ini beliau meminta ibunya untuk menginap di rumahnya di Johor kerana terpaksa menguruskan isterinya yang baru menjalani pembedahan di hospital.

Rancangan mereka sekeluarga adalah bagi ibunya pulang ke Singapura setelah PKP ditarik balik, berkemungkinan setelah 14 April.

Namun baru-baru ini bapa tirinya yang berusia 80 tahun dan tinggal di Singapura tiba-tiba jatuh sakit. Meskipun sakitnya tidak serius, ibu Encik Herman sendiri benar-benar ingin pulang ke Singapura walaupun tanpa kenderaan.

Maka bermulalah perjalanan selama 4 jam yang dilakukan oleh wanita itu, ditemani anak saudara Encik Herman yang berusia 20 tahun.

Menurut Encik Herman lagi, beliau mengaturkan pengangkutan yang membawa ibunya dari kastam Singapura ke rumahnya di Boon Lay. Sepanjang perjalanan juga, beliau sekejap-sekejap menghubungi mereka untuk memastikan keadaan mereka selamat.

Kisah beliau yang menarik perhatian warga online turut dilaporkan oleh Astro Awani.

"Saya yakin dengan viralnya gambar mak saya yang berjalan di 'causeway' itu, bukan hanya mak saya tetapi seluruh wanita sanggup berkorban demi keluarga," kata beliau kepada laman media itu.

"Nasihat saya kepada anak-anak lelaki, abang-abang dan suami, hargailah bidadari syurga bernama wanita."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan