Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita S'pura cedera parah di Phuket selepas dilanggar van

Percutian wanita rakyat Singapura berusia 28 tahun bersama tunangnya dan dua lagi rakan ke pulau Phuket di Thailand bertukar menjadi satu mimpi ngeri pada Khamis (9 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Percutian wanita rakyat Singapura berusia 28 tahun bersama tunangnya dan dua lagi rakan ke pulau Phuket di Thailand bertukar menjadi satu mimpi ngeri pada Khamis (9 Jan).

Baru sahaja berangkat dari Singapura pagi semalam, keluarga Cik Elyna Azman di sini dikejutkan dengan panggilan pada "sekitar 10.00 atau 11.00 malam" oleh tunang Cik Elyna tentang berita wanita itu ditimpa kemalangan selepas motosikal yang dinaikinya dilanggar van pada hari pertama mereka di sana.

Semasa dihubungi BERITAmediacorp tengah hari tadi (10 Jan), tujuh orang anggota keluarga Cik Elyna - keluarganya, dua sepupu dan seorang ibu saudara - sedang berada di Lapangan Terbang Changi untuk terbang ke Phuket pada jam 1.30 petang tadi.

Demikian menurut adik mangsa, iaitu Cik Elydia Azman, 26 tahun.

KECEDERAAN KEPALA, MATA BENGKAK TERUK

Cik Elydia memberitahu BERITAmediacorp bahawa kakaknya cedera di kepala dan mata kanannya bengkak teruk akibat kemalangan itu.

Ini meskipun topi keledar yang dipakainya ketika itu tidak tertanggal semasa wanita itu terjatuh, menurut tunang Cik Elyna sendiri.

Setakat sehingga kini, adik wanita itu belum dapat memastikan sama ada Cik Elyna dalam keadaan sedar atau koma, namun kaki dan tangannya perlu diikat di katil hospital.

"Apabila beliau bergerak sedikit, beliau seperti mahu melarikan diri, sebab itu beliau terpaksa diikat. Mungkin beliau masih mengalami trauma akibat kemalangan itu," kongsi Cik Elydia dengan nada cemas dan bimbang.

PERLU KOS $30,000 SEHINGGA $40,000

Keluarga Cik Elydia mahu membawa Cik Elyna pulang ke Singapura bagi mendapatkan rawatan di sini.

Namun mereka buat masa ini diberitahu oleh doktor di hospital di mana Cik Elyna dirawat bahawa lantaran keadaannya, beliau belum boleh diterbangkan pulang ke Singapura.

Satu lagi masalah yang membimbangkan keluarganya ialah kos bagi membawa pulang Cik Elyna, dari Hospital Phuket Vachira ke Singapura juga begitu mahal - sekitar $30,000 hingga $40,000.

BERITAmediacorp difahamkan mangsa tidak mempunyai sebarang insurans perjalanan bagi percutian tersebut.

Cik Elydia sekeluarga sudahpun meminta bantuan daripada kedutaan Singapura dan Thailand di sana. Namun menurutnya, pemindahan perubatan hanya dapat dilakukan selepas kos bagi usaha tersebut diberikan terlebih dahulu.

BERITAmediacorp sudah menghubungi Kedutaan Singapura di Thailand dan Kementerian Ehwal Luar bagi mendapatkan lebih banyak perincian.

"Kami tidak ada duit sebanyak itu. Kami hanya dapat mengumpul $4,000 sahaja daripada orang-orang terdekat setakat ini," kata Cik Elydia sekitar tengah hari tadi.

Namun menjelang 5.00 petang tadi, beliau memberi maklumat kemas kini bahawa keluarganya berjaya meminjam dan mengumpulkan sekitar S$22,000 sejauh ini daripada kawan-kawan.

Namun mereka masih kekurangan minimum S$8,000 yang diperlukan untuk membawa Cik Elyna pulang.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan