Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita Melayu ini beri 'upah' kepada penghantar makanan Foodpanda meski makanan dipesan tumpah

Sudahlah terpaksa menunggu selama 30 minit, kemudian bila penghantar Foodpanda tiba di hadapan rumah, makanan yang dipesan pula, tidak boleh dimakan sama sekali. Semuanya tumpah hingga beg kertas Foodpanda yang dibawanya koyak rabak. 

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita Melayu ini beri 'upah' kepada penghantar makanan Foodpanda meski makanan dipesan tumpah

Makanan yang dipesan tumpah hingga beg plastik koyak rabak. (Gambar: Riya Naufal/Facebook)

SINGAPURA: Sudahlah terpaksa menunggu selama 30 minit, kemudian bila penghantar Foodpanda tiba di hadapan rumah, makanan yang dipesan pula tidak boleh dimakan sama sekali. Semuanya tumpah hingga beg kertas Foodpanda yang dibawanya koyak rabak. Sos makanan pula berkecah di mana-mana, beg dijinjing si penghantar kotor.

Itulah yang dilalui seorang pelanggan Foodpanda yang berkongsi pengalamannya menerusi catatan Facebooknya baru-baru ini.

Meskipun marah, pengguna Facebook dengan nama Riya Naufal ini sebaliknya menghulurkan beberapa keping tisu agar si penghantar dapat membersihkan begnya. Malah, beliau bertukar-tukar nombor telefon sebagai tanda silaturrahim sekiranya mereka bertemu satu hari nanti.

Si penghantar pula dengan ikhlas tidak mengambil sebarang bayaran.

"Makanan mungkin tumpah kerana pihak kedai tidak menyiapkan makanan itu dengan betul," tambah Cik Riya.

Insiden ini kemudian dilaporkan kepada syarikat Foodpanda. Namun setelah memberikan maklum balas, Cik Riya hanya ditawarkan pampasan dengan menggunakan baucar.

Tidak sedap hati, Cik Riya seterusnya menghubungi penghantar makanan tersebut untuk bertanya jika beliau akan diberi pampasan walaupun tidak mengambil sebarang bayaran daripadanya.

"Foodpanda tidak memberikan pampasan. Saya benar-benar marah dan kecewa. Terdetik di hati nak mengirimkan wang kepadanya menerusi PayNow. Alhamdulillah, saya berjaya memindahkan wang itu. Saya pasti, jika saya memberinya wang semasa kami bersemuka tadi, dia tidak akan menerimanya. Mujur kami bertukar-tukar nombor telefon," cerita Cik Riya.

"Saya benar-benar bersyukur kerana Allah membuka hati saya untuk mendapatkan nombor telefonnya."

Pelanggan berjiwa besar itu turut meluahkan kekecewaannya terhadap cara syarikat Foodpanda melayani pekerjanya.

Dalam petikan gambar yang merakam perbualan mereka, jelas si penghantar makanan benar-benar gembira mendapat habuan itu. Cik Riya pula benar-benar prihatin akan keadaannya dan berharap beliau akan berjaga-jaga semasa bertugas.

Tidak ramai yang akan melakukan perkara murni ini, bukan? Bagaimana pula reaksi anda jika kejadian ini berlaku pada anda?  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan