Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Wanita Melayu bersalin dalam kereta Grab di CTE Ang Mo Kio

Bagi bayi Melayu comel bernama Mia Ariella Adhwin'a Binte Kamalrulnizam, tempat lahirnya dicatat sebagai: "Inside the car on the way to hospital AMK CTE". Lebih tepat lagi, bayi itu dilahirkan dalam sebuah kereta sewa Grab. 

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita Melayu bersalin dalam kereta Grab di CTE Ang Mo Kio

Bayi comel bernama Mia Ariella Adhwin'a Kamalrulnizam ini dilahirkan dalam kereta Grab. (Gambar-gambar: Kamal Wani/Facebook)

SINGAPURA: Bagi kebanyakan orang, surat beranak atau sijil kelahiran mereka mempunyai catatan 'KK Women's and Children's Hospital' atau hospital-hospital lain sebagai tempat dia dilahirkan.

Namun bagi bayi Melayu comel bernama Mia Ariella Adhwin'a Binte Kamalrulnizam, tempat lahirnya dicatat sebagai: "Inside the car on the way to hospital AMK CTE".

Lebih tepat lagi, bayi itu dilahirkan dalam sebuah kereta sewa Grab, ketika ibu bapanya - Cik Nur Syazwani Muhammad dan Encik Kamalrulnizam Kiman - dalam perjalanan ke hospital.

(Gambar-gambar: Kamal Wani/Facebook)

Kejadian 'beranak dalam kereta' itu berlaku pada 7 Ogos. Kisah kelahiran 'Grab baby' (bayi Grab) itu didedahkan dan dikongsi dengan cara cukup menarik dan menghiburkan oleh Cik Nur Syazwani menerusi satu catatan Facebook pada Hari Kebangsaan semalam (9 Ogos).

BEGINI CERITANYA...

9 Ogos tahun ini seharusnya lebih istimewa bagi Cik Nur Syazwani dan suaminya, Encik Kamalrulnizam. Cahaya mata ketiga mereka (si Grab baby) memang dijadual lahir pada 9 Ogos dan menjadi antara bayi Hari Kebangsaan 'Bicentennial' Singapura.

Namun sebaliknya, permata hati mereka itu seolah-olah memilih untuk melihat dunia dua hari lebih awal - semasa ibunya dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Thomson pada 7 Ogos.

"Pada awalnya kami sedang menantikan bayi Hari Kebangsaan tetapi saya mula mengalami kontraksi dan ke hospital pada sekitar 5.00 petang selepas saya mula rasa sakit," cerita Cik Syazwani.

Guru sekolah tadika berusia 25 tahun itu memberitahu BERITAmediacorp, pemandu Grab tidak tahu-menahu beliau ingin bersalin semasa menjemput mereka dari Canberra Street.

Pemandu yang dikenali sebagai Encik Chia Shang Heng hanya menyedari Cik Syazwani dalam proses melahirkan selepas dirinya mula meraung kesakitan semasa dalam perjalanan.

PEMANDU GRAB BANTU CUBA ELAK KESESAKAN TRAFIK

Perjalanan dari Canberra Street lazimnya mengambil masa sekitar setengah jam. Malangnya, pada hari itu, berlaku kesesakan.

"Air ketuban saya pecah dan selepas meneran beberapa kali, bayi kami lahir. Suami saya berjaya 'tangkap' bayi kami di antara ruang tempat duduk dalam kereta," kata Cik Syazwani.

Sepanjang perjalanan, Encik Chia tidak sedikit pun merungut. Malah beliau kekal tenang dan cuba mencari jalan untuk mengelak kesesakan trafik. Ada ketika juga, pemandu Grab itu membunyikan hon agar kenderaan lain memberi laluan.

Suami Cik Syazwani pula menjadi semakin panik sehingga meminta pemandu Grab membuka tingkap lalu melambai-lambaikan tangannya yang penuh dengan darah itu.

"Bayangkan jika anda pemandu di jalan raya ketika itu dan kemudian anda melihat tangan 'berdarah' di tingkap kenderaan lain," ujar Cik Syazwani.

Uri Cik Syazwani turut terkeluar semasa dalam perjalanan.

Dalam tulisan beliau di Facebook menceritakan detik-detik mendebarkan itu, Cik Syazwani berkata setelah kepala bayinya mula keluar, suaminya kemudian memasukkan semula kepala bayi tersebut ke dalam rahim.

"HELLO I MADE EFFORT TO GET THE BABY OUT YOU SIMPLY SHOVE HER BACK IN! (Hello, saya susah payah meneran untuk bayi keluar dan awak senang-senang memasukkannya kembali!)," tulis Cik Syazwani dengan nada lucu.

Beliau dan suami hanya tiba di hospital sekitar sejam kemudian.

TIDAK HARAPKAN BALASAN

"Keadaan dalam kereta benar-benar seperti dalam babak filem pembunuhan beramai-ramai. Begitu banyak darah dan baunya... Kami berasa bersalah terhadap pemandu itu. Kami membuat keretanya menjadi kotor."

"Kami faham kereta itu menjadi sumber mata pencariannya tetapi saya juga hairan melihatnya tenang," cerita Cik Syazwani lagi.

Bahkan, pemandu Grab itu sempat menunggu seketika bersama pasangan tersebut sehingga para jururawat bersedia membawanya ke wad.

"Pihak hospital tidak menjangkakan saya sudah melahirkan. Jadi mereka tidak membuat persiapan untuk membawa kami ke wad. Kita menunggu beberapa minit. Pemandu Grab itu hanya berkata 'Take your time' (Jangan kelam kabut)," kata Cik Syazwani kepada BERITAmediacorp.

Suaminya sempat bertukar nombor telefon bersama Encik Chia agar mereka dapat menguruskan soal kes ganti rugi.

PEMANDU GRAB BERSIHKAN SEMUANYA SENDIRI

Terakhir kali Encik Kamalrulnizam menghubungi pemandu Grab itu, Encik Chia menceritakan bahawa tidak banyak kedai yang ingin membantu membersihkan keretanya.

"Saya rasa mungkin keadaan dalam kereta itu agak teruk. Akhirnya, pemandu Grab kami perlu membersihkan keretanya sendiri.

"Dia hanya memberitahu kami untuk ganti rugi $100 tetapi saya faham... dia tidak dapat memandu untuk mengambil penumpang lain," tambah Cik Syazwani.

Encik Kamalrulnizam berkata, pemandu itu tidak dapat meneruskan memandu selama sekitar tiga jam pada hari itu. Maka itu, pasangan itu memutuskan untuk memberi lebih dari S$100 yang diminta.

"Kepada Encik Chia Shang Heng, tiada kata yang cukup untuk meluahkan penghargaan kami kerana begitu memahami dan baik. Kami meminta maaf kerana membuat kereta anda menjadi kotor, kerana rugi selepas tidak dapat mengambil penumpang lain, atas 'drama melampau' semasa memandu kami (ke hospital). Semoga anda menjadi sumber inspirasi dan peran contoh bagi orang lain. Terima kasih kerana menjadi pemandu hero kami." 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan