Images
  • state courts
    (Gambar fail: TODAY)

Wanita masuk lokap setelah atur perkahwinan palsu untuk rakyat Vietnam

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 35 tahun yang membantu untuk mengaturkan sebuah perkahwinan palsu, dihukum penjara sembilan bulan lapan minggu serta denda S$10,000.

Jika dia gagal membayar denda, dia akan dikenakan hukuman penjara tambahan lapan minggu.

Nguyen Thi Hong Lan, seorang rakyat Singapura berketurunan Vietnam, diberkas pada Ogos 2017.

Dia mengatur perkahwinan antara seorang lelaki rakyat Singapura dengan wanita rakyat Vietnam pada 9 Feb 2017, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan media pada Isnin (10 Jun).

Hasil siasatan mendapati Nguyen didekati oleh wanita Vietnam tersebut, Duong Thi Anh Kieu, 34 tahun, yang ingin terus menetap di Singapura untuk bekerja.

Nguyen mencadangkan agar Duong berkahwin dengan seorang rakyat Singapura dan menyuruh Duong membayar S$20,000 kepadanya bagi urusan perkahwinan palsu itu.

Dia juga memberitahu lelaki rakyat Singapura yang terbabit, Soh Sheng Chao, 29 tahun, untuk menaja permohonan Pas Lawatan dan permohonan Penduduk Tetap bagi Duong, tanpa perlu memenuhi sebarang tanggungjawab sebagai suami.

Soh dijanjikan bayaran S$6,000 dan juga S$300 setiap kali permohonan melanjutkan Pas Lawatan Duong diluluskan.

Setelah pasangan itu berkahwin, Duong tidak tinggal bersama Soh. Dia membayar S$10,000 kepada Nguyen dan bekerja di sebuah spa yang dikendalikan Nguyen untuk melunaskan baki hutang S$10,000.

Atas kesalahan terlibat dalam perkahwinan palsu dan membuat kenyataan palsu dalam permohonan Pas Lawatan, Duong sudahpun dikenakan hukuman penjara enam bulan dan Soh dipenjara empat minggu.

"ICA memandang serius terhadap individu-individu yang cuba memintasi sistem kami dengan menyertai atau mengatur/membantu untuk mengatur perkahwinan palsu bagi mendapatkan kemudahan imigresen di Singapura," menurut ICA.

"ICA akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap pasangan-pasangan dan orang-orang tengah yang melakukan kesalahan."

Mereka yang didapati bersalah terlibat dalam perkahwinan palsu atau membantu untuk mengatur perkahwinan sedemikian boleh dihukum penjara hingga 10 tahun dan didenda hingga S$10,000. 

- CNA/ZM/zm

Top