Images
  • pisau tikam knife crime
    Gambar hiasan

Wanita lempar pisau pada suami, ugut cederakan bayi mereka, dipenjara

SINGAPURA: Seorang wanita yang mengelar suaminya dengan pisau dapur semasa satu pertengkaran dan mengugut untuk mencederakan bayi mereka berusia setahun dihukum penjara tujuh bulan pada Khamis (16 Mei).

Fang Dong Dong, rakyat China berusia 29 tahun, mengaku bersalah terhadap empat tuduhan termasuk menganiaya kanak-kanak, sengaja menyebabkban kecederaan menggunakan senjata berbahaya dan melakukan jenayah ugutan, dengan lima lagi tuduhan dipertimbangkan.

Menurut peguam bela Yeoh Jean Ann, Fang berpindah ke Singapura pada lewat 2016 untuk mendirikan rumah tangga dengan suaminya, rakyat Singapura Chan Sin Kai, 50 tahun.

Mereka mempunyai cahaya mata lelaki berusia setahun pada masa kesalahan itu dilakukan.

Keganasan tercetus pada Mei tahun lalu, apabila pasangan suami isteri itu bertengkar di unit kondominium Yishun mereka.

Fang mengambil pisau dapur, lalu mengacunya pada suaminya dan mengancam untuk mengelarnya.

Apabila suaminya berlindung di sebalik pintu bilik, Fang melibas pintu dengan pisau itu.

Keganasan menjadi lebih buruk beberapa bulan kemudian pada 15 Sep, setelah keluarga itu pulang dari sebuah tempat hiburan malam untuk menonton perlawanan bola sepak.

Fang yang telah meminum lima botol arak mula bertengkar dengan suaminya dalam kereta.

Setibanya mereka di rumah, Fang mengambil pisau sepanjang 15 sentimenter dari dapur dan mula mengelar suaminya, kata Timbalan Pendakwa Raya Eugene Phua.

Encik Chan telah pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan menurut rekod perubatan beliau diserang oleh isterinya dengan pelbagai objek.

Encik Chan berkata beliau berasa pening setelah kepalanya dibaling dengan cerek, penyapu, kayu dan cawan. Doktor mendapati luka melecet sepanjang tiga sentimenter di siku dan kecederaan lain pada muka, lengan dan lehernya.

SUAMI BUAT LAPORAN POLIS HANYA SETELAH ISTERI TAMPAR ANAK

Namun, Encik Chan tidak segera membuat laporan polis. Beliau berbuat demikian hanya sebulan kemudian pada 19 Oktober 2018.

Fang menghantar pesanan-pesanan berbentuk ugutan kepada suamniya sambil berkata, dia akan "mengerat anak mereka" jika beliau enggan meminta maaf.

Apabila Encik Chan sampai ke rumah, beliau mendapati pipi bayinya bengkak kemerah-merahan.

Beliau kemudian membuat laporan polis pada awal pagi 19 Okt mengenai insiden-insiden penganiayaan yang dilaluinya.

"Kebanyakan pasangan ada perselisihan, bukan? Namun ia tidak selalunya mengakibatkan keganasan keluarga," kata Hakim Daerah Mathew Joseph.

Peguam bela Fang berkata anak guamnya "bersendirian di Singapura", jauh dari teman-teman di China, dan Encik Chan merupakan satu-satunya anggota keluarganya di Singapura.

Beliau menambah Fang tidak pernah disabit kesalahan di Singapura mahupun China dan dia berasa "amat menyesal" dan sudah pun memohon maaf berkali-kali kepada suaminya dan anak mereka.

Tindakan menampar bayinya "dilakukan ketika fikirannya terganggu," kata peguam tersebut.

"Pada saya, perbuatan itu keji," kata Hakim Joseph. "Bayi itu tidak dapat membela diri. Pertengkarannya adalah dengan suami, mengapa dia melepaskan kemarahan pada anaknya pula?"

Fang menangis di kandang tertuduh beberapa kali sepanjang perbicaraan kes.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, Fang boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda.

- CNA/ZM/tq

Top