Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita hamil berisiko tinggi alami komplikasi serius COVID-19, digesa dapatkan vaksin: MOH

Wanita hamil berdepan risiko lebih tinggi mengalami komplikasi teruk akibat COVID-19 yang boleh membawa maut, kata Profesor Madya Kenneth Mak dari Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (24 Sept), sambil menyeru mereka supaya mendapatkan vaksin.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita hamil berisiko tinggi alami komplikasi serius COVID-19, digesa dapatkan vaksin: MOH

Seorang wanita hamil mendapatkan suntikan vaksin COVDI-19 di Schwenksville, Pennyslvania. (Gambar: Hannah Beier/REUTERS)

Diterbitkan : 25 Sep 2021 08:33AM Dikemas Kini : 25 Sep 2021 08:46AM

SINGAPURA: Wanita hamil berdepan risiko lebih tinggi mengalami komplikasi teruk akibat COVID-19 yang boleh membawa maut, kata Profesor Madya Kenneth Mak dari Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (24 Sept), sambil menyeru mereka supaya mendapatkan vaksin.

Bercakap semasa sidang media pasukan bertindak Pemerintah bagi COVID-19, pengarah perkhidmatan perubatan di MOH itu berkata beberapa wanita hamil adalah antara pesakit COVID-19 lebih muda yang dimasukkan ke hospital dan belum diberi vaksin.

"Mungkin, ini disebabkan oleh kebimbangan bahawa vaksin mungkin menjejas kemampuan mereka untuk hamil, atau vaksin itu akan membahayakan janin," katanya. "Data dunia nyata menunjukkan hal yang sebaliknya."

Beliau menekankan, wanita hamil menghadapi risiko lebih tinggi menghidap jangkitan koronavirus yang lebih teruk.

Mereka juga lebih terdedah kepada komplikasi teruk sama ada dari COVID-19 atau kehamilan dan juga berisiko lebih tinggi memerlukan jagaan rapi dan kematian, tambahnya.

Prof Madya Mak berkata demikian semasa pasukan bertindak mengumumkan langkah-langkah yang lebih ketat untuk memperlahankan lonjakan kes tidak dijangka yang menambah tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan dan respons Singapura.

Kolej Pakar Obstetrik dan Sakit Puan Akademi Perubatan Singapura dan Persatuan Pakar Obstetrik dan Sakit Puan Singapura mengeluarkan makluman menasihatkan wanita hamil agar mendapat vaksin secepat mungkin, katanya.

LEBIH RAMAI WANITA HAMIL DIJANGKITI COVID-19

Mediacorp melaporkan minggu lalu bahawa Hospital Besar Singapura (SGH) menyaksikan peningkatan membimbangkan berhubung jumlah wanita hamil menghidap COVID-19 yang dimasukkan ke wad pengasingannya.

SGH menyatakan ia belum pernah melihat sebarang pesakit seperti itu sepanjang tahun lalu dan tahun ini hingga bulan Ogos. Namun lebih 10 kes sedemikian sudah dicatatkan sejak itu, dengan sebilangan wanita tersebut memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas.

Tidak seorang pun antara wanita tersebut yang sudah lengkap divaksin, dan "hanya segelintir" yang baru mendapatkan satu dos, dedah pihak hospital.

Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH), hospital terbesar khas untuk penjagaan kesihatan wanita dan kanak-kanak di Singapura, memberitahu Mediacorp minggu lalu bahawa ia juga menyaksikan peningkatan baru-baru ini dalam jumlah wanita hamil yang dijangkiti COVID-19.

Dari Mei hingga pertengahan Ogos tahun ini, hospital itu menyaksikan kes sedemikian melonjak seganda. Majoriti daripada mereka tidak divaksin.

Dalam jawapan bertulis parlimen Isnin lalu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menerima sejumlah kecil laporan "kejadian buruk" yang tidak serius berhubung vaksin Pfizer-BioNTech atau Comirnaty pada wanita hamil.

Namun, menurutnya kesan sampingan buruk ini serupa dengan yang dilaporkan penduduk umum.

Prof Madya Mak berkata pada Jumaat: “Malangnya, kita sudah melihat beberapa wanita hamil mendapatkan rawatan di hospital dan di unit jagaan rapi. Kita tidak mahu melihat lebih banyak lagi kes seperti ini. "

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan