Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita disabit kesalahan tendang kemaluan pembantu rumah, paksa mandi dengan pintu terbuka

Seorang wanita yang meminta dibicarakan berhubung tujuh tuduhan mendera pembantu rumahnya disabit kesalahan ke atas enam daripadanya hari ini (8 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita disabit kesalahan tendang kemaluan pembantu rumah, paksa mandi dengan pintu terbuka

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 08 Jul 2021 08:28PM Dikemas Kini : 08 Jul 2021 08:30PM

SINGAPURA: Seorang wanita yang meminta dibicarakan berhubung tujuh tuduhan mendera pembantu rumahnya disabit kesalahan ke atas enam daripadanya hari ini (8 Jul).

Rosdiana Abdul Rahim, 33 tahun, disabit kesalahan atas enam tuduhan termasuk menghina kehormatan pembantunya, melakukan kekerasan jenayah, menyebabkan kecederaan dan membuat ugutan jenayah.

Hakim menggugurkan tuduhan, menarik baju dan coli mangsa, atas sebab pihak pendakwa tidak membuktikan kes melebihi keraguan yang munasabah bagi kesalahan tersebut.

Sepanjang tiga bulan pada 2017, Rosdiana mendera pembantu rumah muda yang berasal dari Indonesia itu, yang bekerja di Singapura buat kali pertama pada September 2017.

KEADAAN KERJANYA

Mangsa, yang kini berusia 21 tahun, langsung tidak diberi cuti rehat ataupun gaji bagi kerja yang dilakukannya sepanjang bekerja dengan Rosdiana hingga Disember 2017.

Mangsa bukan sahaja ditugaskan untuk menguruskan kerja rumah dan menjaga anak kembar Rosdiana, malah perlu menjaga kanak-kanak di rumah ibu Rosdiana juga.

Waktu rehat yang diberikan tidak tetap - mangsa dibenarkan tidur antara pukul 11.00 malam dengan 1.00 pagi, dan bangun antara pukul 5.00 dengan 6.00 pagi. Beliau juga tidak dibenarkan tidur sekejap pada waktu siang dan dalam keterangannya menyatakan bahawa dirinya diperhatikan olehanggota keluarga Rosdiana.

Pada mulanya, mangsa dibenarkan tidur di sebuah katil di bilik anak-anak Rosdiana, tetapi kemudian disuruh tidur di atas permaidani di bilik itu.

Lama-kelamaan, Rosdiana menyuruh mangsa tidur di lantai di luar tandas utama namun mangsa memilih untuk tidur di bawah sebuah perabot di ruang tamu.

Beliau juga tidak diberikan sebarang selimut atau bantal dan Rosdiana membuang kain batik yang digunakan mangsa sebagai sarung, menyifatkannya sebagai busuk.

Rosdiana juga membuang pakaian dan tuala mangsa atas alasan yang sama dan kemudian menggunakan sebahagian daripada duit gaji mangsa untuk membeli pakaian baru untuknya.

Penderaan pertama berlaku lebih sebulan selepas mangsa bekerja dengan Rosdiana, setelah dia mengatakan pembantu rumah itu sangat busuk.

Dia menyuruh mangsa untuk menunjukkan cara beliau mandi. Apabila mangsa mengambil pakaian salinan, Rosdiana menarik tangannya ke tandas dan menolak mangsa ke dalam. Rosdiana kemudian menyemburkan air pada mangsa yang masih berpakaian.

Rosdiana meletakkan syampu di atas kepala mangsa dan menyuruhnya menanggalkan pakaiannya yang basah sebelum membuka air.

Mangsa mematuhi arahan dan cuba membilas syampu. Ketika mangsa dalam keadaan telanjang, suami Rosdiana tiba-tiba memasuki bilik tidur utama dan mangsa cuba menutup tubuhnya.

Melihat perkara itu, Rosdiana memberitahu mangsa bahawa suaminya “tidak akan berminat”. Mangsa yang sedang menangis ketakutan tidak menjawab apa-apa.

Selepas mandi, Rosdiana meminta mangsa untuk menunjukkan bagaimana dia mengeringkan badan tanpa tuala. Mangsa kemudian cuba mengeringkan diri dengan tangannya.

Rosdiana menyuruh mangsa menyalin pakaian dalam bilik tidur utama dengan tingkap dibuka, sementara dia duduk di katil.

Mangsa masih ingat bahawa beliau dapat melihat orang di luar tingkap dan berasa risau mereka dapat melihatnya.

Semasa memberikan keterangan, dengan linangan air mata mangsa berkata beliau berasa sangat malu dan hilang maruah.

ACARA DI TEMPAT KERJA

Dalam satu kejadian lain, mangsa sedang bersiap untuk mengikuti Rosdiana sekeluarga ke satu acara di hotel dan beliau menyapu bedak bayi pada wajahnya.

Rosdiana melihat bedak di muka mangsa lalu menyifatkannya sebagai hodoh. Dia kemudian mengambil bedak bayi itu dan menuangkannya ke muka mangsa hingga matanya terasa sakit.

Mangsa cuba menghilangkan bedak itu tetapi Rosdiana mengugut dengan berkata keluarganya tidak akan ada lagi apabila beliau pulang kelak jika beliau terus melakukan demikian.

Mangsa menangis kerana berasa risau tentang keluarganya.

Keluarga itu menginap di sebuah hotel semasa acara kerja Rosdiana pada Disember 2017. Mangsa tidur di atas lantai hotel dan cuba menggunakan tuala mandi hotel untuk menyelimut diri, tetapi Rosdiana melarangnya. Mangsa tidak dibenarkan membawa apa-apa ke hotel dan tidak dibenarkan menyalin pakaian sepanjang penginapan tiga hari itu.

Apabila keluarga itu pulang ke rumah pada 11 Disember 2017, Rosdiana menyuruh mangsa mengeluarkan dan mengemas semula barang-barangnya kerana dia perlu bergegas keluar rumah lagi.

Mangsa bagaimanapun tidak dapat melakukan tugasnya dengan cepat dan Rosdiana menjerit kepadanya untuk cepat. Dia kemudian memberitahu mangsa pakaian dan seluar dalamnya berbau busuk kerana mangsa tidak menyalinnya sewaktu di hotel.

Rosdiana menendang mangsa pada bahagian kemaluannya sebanyak dua kali, sehingga mangsa terjatuh ke belakang selepas tendangan kedua. Mangsa terhentak pada bahagian belakang badannya dan berasa sakit pada bahagian celah kelengkang.

Mangsa berkata beliau menangis pada saat itu tetapi Rosdiana terus memarahinya dan menyuruhnya menukar pakaian supaya mereka boleh keluar rumah.

Apabila mangsa sedang mengambil pakaian dari almari, Rosdiana menolak pintu almari pada tangan mangsa sehingga menyebabkan beliau kesakitan.

Oleh kerana mangsa menangis, matanya kelihatan merah. Rosdiana kemudian menyapu krim asas pada muka mangsa sebelum mereka keluar rumah.

Keesokan harinya, Rosdiana serta suaminya meninggalkan mangsa di pintu masuk agensi pembantu rumahnya tanpa sebarang penjelasan. Mangsa tidak tahu beliau akan dihantar pulang dan tidak membawa barang-barang kepunyaannya.

Beliau memberitahu seorang pekerja agensi tentang apa yang berlaku ke atasnya dan beliau dibawa membuat aduan polis.

Pihak pendakwa meminta perbicaraan ditangguhkan untuk menyiapkan hujah-hujahnya.

Rosdiana akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi untuk mengemukakan rayuan dan hukuman dijatuhkan terhadapnya. 

Sumber : CNA/IH/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan