Wanita dipenjarakan; tipu 89 mangsa S$1.8 juta bagi ubah elok rumah
Seorang wanita berusia 41 tahun yang melakukan penipuan ubah elok rumah melibatkan hampir S$1.8 juta, dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun dan sembilan bulan pada Selasa (25 Sep).
SINGAPURA: Seorang wanita berusia 41 tahun yang melakukan penipuan ubah elok rumah melibatkan hampir S$1.8 juta, dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun dan sembilan bulan pada Selasa (25 Sep).
Husniyati Omar mengaku bersalah atas 21 tuduhan, sebahagian besarnya tuduhan menipu, dengan lagi 126 tuduhan dipertimbangkan.
Hakim Daerah, Edgar Foo, berkata beliau menimbangkan jumlah besar mangsa dan wang yang terlibat dalam kes tersebut semasa menjatuhkan hukuman itu. Beliau turut menarik perhatinan bahawa Husniyati melakukan kesalahan lagi semasa dibebaskan dengan ikat jamin.
Secara keseluruhannya, seramai 89 mangsa termasuk pemilik rumah dan kontraktor kecil - kehilangan S$1,796,000.
Pada 2016, Husniyati memujuk rakannya Christina Wong Hoi Khay untuk menjadi pengarah sebuah syarikat ubah elok.
Syarikat itu yang diberi nama Carpentry Design Works diseliakan oleh Husniyati dan suaminya, Aszrul Yusoff.
Dia menipu para mangsa untuk percaya bahawa Carpentry akan menyelesaikan semua kerja-kerja ubah elok mengikut perjanjian bertulis dan meminta mereka untuk membuat bayaran, namun dia tidak menepati perjanjian tersebut, kata pihak pendakwa raya.
Walaupun diberkas pada April tahun lalu, Husniyati terus menipu para mangsa menerusi satu lagi syarikat pengubahsuaian, iaitu Chanteq Flooring Specialist, bersama-sama pengarah dan pemegang saham syarikat berkenaan, Mohammad Khairuldin Abdullah, iaitu seorang bekas pekerja Carpentry.
Sebelum ini, Husniyati turut didakwa atas kesalahan serupa. Pada 2015, Husniyati menyalahgunakan wang bernilai sekitar S$68,000 dari syarikat ubah elok rumah Elegance Concept, di mana dia bekerja sebagai pengurus penjualan dan pemasaran.
Dia belum lagi mengembalikan wang kepada para mangsa. Perbicaraan mahkamah bagi suami Husniyati juga bakal diadakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.