Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita dipenjara guna kad kredit bekas majikan buat 73 tempahan Foodpanda berjumlah S$2,200

Seorang penolong peribadi yang sering membuat tempahan Foodpanda bagi ketua pegawai eksekutif sebuah firma alat tulis, menyimpan maklumat kad kredit dan kemudian menggunakannya untuk membuat 73 tempahan untuk dirinya sendiri meskipun setelah dia meninggalkan syarikat itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dipenjara guna kad kredit bekas majikan buat 73 tempahan Foodpanda berjumlah S$2,200

Gambar fail seorang penghantar makanan Foodpanda menunggang basikal (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 12 Jan 2021 09:36PM Dikemas Kini : 12 Jan 2021 09:37PM

SINGAPURA: Seorang penolong peribadi yang sering membuat tempahan Foodpanda bagi ketua pegawai eksekutif sebuah firma alat tulis, menyimpan maklumat kad kredit dan kemudian menggunakannya untuk membuat 73 tempahan untuk dirinya sendiri meskipun setelah dia meninggalkan syarikat itu.

Sepanjang tempoh sekitar dua bulan, Lin Qian Dai Lin, 41 tahun, membuat pesanan makanan di Foodpanda bernilai sekitar S$2,200 dari tempat seperti PastaMania, Haagen-Dazs dan The Soup Spoon, menggunakan butiran kad kredit bekas majikannya.

Lin dihukum dipenjara lima bulan pada Selasa (12 Jan) setelah mengaku bersalah atas satu tuduhan menipu.

Mahkamah diberitahu bahawa Lin bekerja sebagai penolong peribadi CEO Nippecraft dari April 2017 hingga Februari 2018, membuat pembelian untuk majikannya menggunakan maklumat kad kredit beliau bagi tempahan perjalanan dan penghantaran makanan.

Atas sebab itu, maklumat kad kredit CEO berkenaan disimpan dalam aplikasi Foodpanda di telefon Lin.

Lin meninggalkan pekerjaannya pada 15 Februari 2018, tetapi tidak memadamkan butiran kad kredit bekas majikannya itu dari aplikasinya. Pada 7 Jul 2019, Lin membuat pesanan dari Burger King melalui Foodpanda dan secara tidak sengaja memilih kad kredit mangsa sebagai kaedah pembayaran dan bukan kad miliknya.

Dia kemudian menyedari tidak dikenakan bayaran tersebut, dan sebaliknya kepada mangsa. Lin menjadi tamak dan memilih untuk terus menggunakan kad kredit mangsa untuk pesanan dari Foodpanda, menurut dokumen mahkamah.

Antara 13 Jul hingga 7 Sep 2019, Lin menipu Foodpanda dengan membuat 73 pesanan makanan dengan kad kredit mangsa, yang mengakibatkan syarikat penghantaran makanan tersebut mengirimkan makanan bernilai S$2,285,07 kepada Lin.

Setelah menyedari bahawa ada orang yang membuat pesanan Foodpanda menggunakan kad kreditnya, mangsa membuat laporan polis pada 19 Oktober 2019. Beliau juga memberitahu polis bahawa kad kredit hilang.

Lin sudah membuat bayaran balik bagi sebahagian jumlah yang digunakan dan meminta maaf.

Atas kesalahan menipu, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan