Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita dipenjara bersubahat dengan mantan pengarah anak syarikat NTU tipu universiti

Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan lima bulan pada Isnin (18 Nov) kerana bersubahat dengan mantan pengarah anak syarikat Universiti Teknologi Nanyang (NTU) untuk menipu NTU dan entiti-entitinya sebanyak S$191,000.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dipenjara bersubahat dengan mantan pengarah anak syarikat NTU tipu universiti
Diterbitkan : 18 Nov 2019 11:03PM Dikemas Kini : 18 Nov 2019 11:04PM

SINGAPURA: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan lima bulan pada Isnin (18 Nov) kerana bersubahat dengan mantan pengarah anak syarikat Universiti Teknologi Nanyang (NTU) untuk menipu NTU dan entiti-entitinya sebanyak S$191,000.

Louise Lai, 43 tahun, mengaku bersalah ke atas lima tuduhan kebanyakannya kerana bersubahat menipu, dengan lagi 10 tuduhan dipertimbangkan.

Mahkamah diberitahu Lai dan individu yang tertuduh bersamanya, Viktor Cheng Choong Hung sebelum ini adalah rakan sekerja di Pejabat Hak Milik Intelek Singapura (IPOS).

Cheng kemudian meninggalkan IPOS dan memegang beberapa jawatan di tiga anak syarikat NTU: Pengarah di cabang inovasi dan perusahaan NTU, NTUitive, pengarah perniagaan dan operasi di Institut Inovasi Media (IMI) dan ketua pegawai eksekutif di Techbiz Xccelerator (TBX).

Pada Julai 2014, Lai - atas saranan Cheng - menubuhkan syarikat konsultan I-Knowhow bagi menyediakan khidmat pengurusan IT, pengetahuan dan kajian pasaran. Lai disenaraikan sebagai pengarahnya.

Namun, pada hakikatnya, Cheng mempunyai kuasa ke atas I-Knowhow kerana dia mencari projek-projek bagi syarikat itu dan membuat keputusan perniagaan berhubungnya.

Kedua-dua individu bersetuju menggunakan syarikat itu untuk memohon bagi tender projek-projek daripada ketiga-tiga anak syarikat NTU yang dikendalikan oleh Cheng.

Lai sedar berlaku konflik kepentingan, oleh itu, mereka berdua bersetuju bahawa Cheng tidak harus disenaraikan sebagai pengarah, pemegang saham atau mempunyai sebarang kaitan rasmi dengan I-Knowhow.

Urusan perniagaan syarikat itu adalah bagi projek-projek berkaitan NTU yang diperolehi Cheng.

Kesalahan itu berlaku antara Ogos 2014 dengan Mac 2016.

MANTAN PENGARAH AMBIL MAHASISWA NTU UNTUK LAKUKAN KERJA

Dalam satu kejadian, Cheng mengarahkan Lai menggunakan kepala surat syarikat I-Knowhow untuk menyediakan sebut harga dan membida bagi projek oleh IMI.

IMI menerima sebut harga sebanyak S$36,000 oleh I-Knowhow dan mendapatkan khidmatnya sebagai vendor.

Syarikat itu pula menggajikan seorang pekerja bebas untuk melaksanakan tugas itu.

Individu itu, Carmen Lu Jiawen, sebelum ini ditemu duga oleh Cheng bagi jawatan di TBX setelah projek tahun akhirnya sebagai mahasiswa di NTU.

KONSULTAN SECARA BEBAS

Pada Januari 2016 pula, NTU menggajikan Lai sebagai seorang konsultan yang bekerja secara bebas untuk sebuah projek enam bulan dengan gaji S$6,500 sebulan.

Setelah dua bulan, Lai "berasa kurang puas hati kerana tugas yang dilakukan lebih daripada skop perkhidmatan yang tertera dalam perjanjian."

Lai memberitahu NTU dia memerlukan bantuan seseorang, dan memberikan butiran individu, Wong Chee Leong sebagai individu yang boleh membantunya.

Namun, Wong sebenarnya adalah suami Lai dan beliau tidak terlibat dalam projek itu. Lai juga tidak berniat melibatkannya.

Wong menandatangani kontrak bersama NTU yang akan memberinya bayaran bulanan S$5,000 selama enam bulan.

Secara keseluruhan, NTU dan anak-anak syarikat yang terbabit membayar S$191,000 berhubung dengan tuduhan menipu Lai, dengan tiada bayaran kembali dibuat sehingga kini, kata Timbalan Pendakwa Raya Victoria Ting.

Bagi setiap tuduhan bersubahat untuk menipu, Lai boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Kes Cheng masih menunggu perbicaraan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan