Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita dipenjara 6 minggu humban komputer, CPU, pasu dari tingkat 12 flat Bishan

Seorang wanita berusia 46 tahun dijatuhi hukuman penjara enam minggu hari ini (25 Ogos) kerana menghumban peralatan elektronik dan barangan lain ke luar tingkap flatnya di tingkat 12.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dipenjara 6 minggu humban komputer, CPU, pasu dari tingkat 12 flat Bishan

Poster menasihatkan terhadap pembuangan sampah dari tempat tinggi ditampal di papan notis sebuah estet perumahan. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 25 Aug 2021 08:54PM Dikemas Kini : 25 Aug 2021 08:58PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 46 tahun dijatuhi hukuman penjara enam minggu hari ini (25 Ogos) kerana menghumban peralatan elektronik dan barangan lain ke luar tingkap flatnya di tingkat 12.

Maslina Ramlee mengaku bersalah melakukan tindakan melulu yang membahayakan nyawa manusia.

Mahkamah diberitahu Maslina berasa marah dan kecewa kerana perlu menghabiskan hari-harinya secara bersendirian di rumah kerana kedua-dua suami dan anak lelakinya berada dalam penjara.

Ini menyebabkan dia membuang lima pasu logam, sebuah unit pemprosesan pusat komputer (CPU), peralatan bunyi dan set Hi-Fi ke luar tingkap flatnya di Bishan pada Mac tahun lalu. Alamat blok itu digugurkan daripada dokumen mahkamah.

Semua barang itu terhempas di tingkat bawah dekat kawasan rumput dan laluan konkrit pejalan kaki yang digunakan oleh para penduduk untuk melakukan perjalanan ke satu sudut senaman berhampiran serta blok-blok berdekatan.

Meskipun barang-barang itu rosak teruk selepas dicampak, tiada sesiapa yang cedera dalam insiden yang berlaku pada pagi 8 Mac 2020.

Ketika itu, Cik Senthuja Subramanian, seorang pekerja sosial berusia 28 tahun yang bekerja di sebuah pusat kegiatan warga emas berdekatan, terdengar bunyi kuat.

Apabila beliau keluar untuk melihat apa yang berlaku, beliau ternampak sebuah monitor komputer tersadai di kaki blok. Banyak barangan lain kemudian jatuh terhempas.

Cik Senthuja terlihat Maslina membuang barang-barang itu dari tingkapnya dan menghubungi polis.

Di mahakamah, Timbalan Pendakwa Raya Andrew Chia menarik perhatian bahawa ketinggian dari mana Maslina membuang barang-barang itu berpotensi untuk membunuh sekiranya ia terkena mana-mana pejalan kaki. DPP Chia meminta hukuman penjara enam hingga lapan minggu, menurut laporan TODAY.

Beliau juga merujuk kepada satu kes pada 2015 di mana Mahkamah Tinggi menyatakan masalah pembuangan sampah dari tempat tinggi "mesti segera dikurangkan dengan banyak" kerana kebanyakan penduduk Singapura tinggal di apartment atau flat tinggi.

Beliau menarik perhatian lanjut bahawa Maslina pernah melakukan kesalahan-kesalahan pada 2000 dan 2008 namun tidak menjelaskan lebih lanjut dalam dokuman mahkamah.

Maslina boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$2,500 atau kedua-duanya sekali.

Dia akan memulakan hukuman penjaranya pada 8 September dan buat masa ini bebas dengan diikat jamin sebanyak S$3,000.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan