Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita digalak bertindak persiap diri meniti usia senja

Kesihatan, kewangan dan kerjaya adalah tiga bidang utama yang dibincangkan dalam acara Simposium Wanita 2019 pagi tadi (20 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kesihatan, kewangan dan kerjaya adalah tiga bidang utama yang dibincangkan dalam acara Simposium Wanita 2019 pagi tadi (20 Okt).

Simposium dwitahunan anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) itu adalah wadah untuk kaum wanita membincangkan trend-trend serta isu berkaitan golongan tersebut dan memanfaatkan pengetahuan baru yang diraih untuk memperkasa dan mempertingkat diri.

Tahun ini, dalam edisi keempatnya, PPIS mengupas isu-isu berkaitan persiapan dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh kaum hawa dalam meniti usia senja.

Simposium hari ini diadakan di Insitut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) dan turut dihadiri tetamu kehormat, AP GRC Tanjong Pagar, Joan Pereira.

Simposium Wanita 2019 anjuran PPIS, 20 Okt. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

BERSEDIA MENITI USIA SENJA

Sudahkah anda bersedia untuk meniti hari-hari tua?

Adakah wang simpanan anda sudah mencukupi untuk menanggung diri sendiri 20, 30 atau 40 tahun akan datang?

Inilah antara soalan-soalan yang bermain di benak fikiran lebih 100 wanita yang hadir di simposium itu.

Bertemakan 'Dear Future Self', kaum hawa diajak memandang jauh, memikirkan keperluan-keperluan mereka pada masa hadapan dan bertindak sekarang demi kesejahteraan diri pada usia tua.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan jangka hayat wanita lebih panjang berbanding kaum lelaki.

(Gambar: Dr Helen Koh)

(Gambar: Dr Helen Ko)

Dapatan tinjauan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME) mendedahkan jangka hayat wanita adalah 88 tahun.

Namun, jangka hayat sihat wanita hanyalah 76 tahun.

Ini bermakna dalam 12 tahun terakhir jangka hayat mereka, wanita berkemungkinan hidup dalam keadaan kurang sihat atau kurang upaya.

PENTING RANCANG DARI USIA MUDA

Lantaran itu, dalam ucaptamanya, Pensyarah Kanan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Dr Helen Ko, menekankan pentingnya untuk wanita menjaga kesihatan mereka dan memastikan simpanan mereka mencukupi untuk membiayai kos rawatan dan perubatan kelak.

Ini disokong oleh Cik Joan, yang juga merupakan penasihat sayap wanita PAP.

Menurut beliau, cabaran-cabaran yang dialami wanita berbeza dengan kaum lelaki. Oleh itu, wanita mungkin memerlukan lebih banyak simpanan.

"Penting untuk kita semua merancang seawal mungkin. Sejak usia muda. Penting untuk kita meniti usia tua dengan harga diri, kita perlu menua dengan penuh bermakna dan kita perlu menua dengan kesihatan yang baik. Jika anda ada kesihatan yang baik, anda boleh menikmati usia senja dengan produktif," kata Cik Joan kepada BERITAmediacorp.

Para peserta simposium hari ini juga berpeluang untuk saling bertukar-tukar pandangan menerusi tiga sesi perbincangan, dengan tumpuan diberikan kepada bidang kewangan, kesihatan dan kerjaya.

Simposium Wanita 2019 anjuran PPIS, 20 Okt. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Masing-masing dikendalikan oleh tiga pakar dalam bidang tersebut, iaitu Dr Elly Sabrina yang berkongsi tentang kesihatan; Cik Harasha Bafana seorang usahawan yang berkongsi mengenai kerjaya; dan Cik Siti Nurlinda, seorang perunding kewangan.

WANITA PERLU LEBIH SERIUS FIKIR TENTANG KEWANGAN

Menerusi perbincangan itu, Presiden PPIS, Cik Rahayu Mohamad berharap ia dapat meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan wanita untuk memikirkan perkara-perkara tersebut dengan lebih serius.

"Kalau kita tengok daripada tinjauan rambang yang dibuat, rata-ratanya dari sudut persiapan kewangan, sangat kurang diberikan perhatian oleh para wanita kita. Sedangkan ini adalah suatu yang sangat penting bagi diri mereka supaya mereka tidak mengharapkan bantuan daripada orang lain," Cik Rahayu memberitahu BERITAmediacorp.

Semasa ditemui di acara itu, Perunding Kewangan Cik Siti Nurlinda berkongsi bahawa salah satu salah tanggapan dalam kalangan wanita Melayu terhadap pengurusan kewangan adalah mentaliti 'tak apalah', yang cenderung menangguhkan usaha untuk menabung.

"Bila berbincang tentang simpanan, bila kita kata perlu simpan duit dari awal untuk persaraan. 'Tak apalah, nak beli beg ini dulu', 'Tak apalah nak simpan untuk kahwin dulu', 'Tak apalah, untuk persaraan nanti, rancang untuk yang dekat-dekat dulu'. Untuk rumah, untuk kahwin, untuk anak. Tetapi kita selalu lupa untuk diri kita sendiri," kata beliau.

Simposium Wanita 2019 anjuran PPIS, 20 Okt. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Cik Nurlinda menambah, mentaliti sedemikian perlu dihapuskan. Sekalipun terdapat banyak keperluan yang memerlukan wang, wanita harus mencuba sedaya upaya untuk mengetepikan walau sedikit wang untuk simpanan mereka sendiri.

"Tak akan pernah terlambat untuk adakan simpanan. Asalkan anda mulakan menyimpan. Sekurang-kurangnya bila sudah sedia untuk bersara anda ada duit walaupun tak cukup, sekurang-kurangnya ada untuk menikmati persaraan.

"Kita harus sedar kita punya keperluan lain daripada ibu-ibu kita di zaman dulu. Jadi kita harus ingat bahawa duit anak-anak kita bukan duit persaraan kita dan duit ibu bapa kita bukan duit kecemasan kita. Jadi penting untuk kita bergantung kepada diri kita sendiri," tambah Cik Nurlinda.

Simposium Wanita 2019 turut menampilkan tetamu istimewa, tokoh bidang masakan Cik Aziza Ali dan Penasihat Kanan Kewangan dari Ascent Islamic Siti Nurul'ain, yang berkongsi pengalaman peribadi mereka mengenai wanita, kerjaya dan perancangan usia senja. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan