Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita didenda kerana benarkan lelaki belajar di flatnya semasa tempoh pemutus jangkitan

Meskipun dia tahu bahawa perhimpunan sosial dilarang semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan, seorang wanita membenarkan seorang lelaki masuk ke dalam flatnya untuk belajar dan bertemu dengan seorang rakan lain untuk memberinya hadiah hari jadi.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita didenda kerana benarkan lelaki belajar di flatnya semasa tempoh pemutus jangkitan

Mahkamah Negara.

Diterbitkan : 24 Sep 2020 07:10PM Dikemas Kini : 24 Sep 2020 07:12PM

SINGAPURA: Meskipun dia tahu bahawa perhimpunan sosial dilarang semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan, seorang wanita membenarkan seorang lelaki masuk ke dalam flatnya untuk belajar dan bertemu dengan seorang rakan lain untuk memberinya hadiah hari jadi.

Bagi satu kesalahan membenarkan seorang yang bukan dari isi rumahnya memasuki flatnya dan satu lagi kerana berjumpa dengan orang lain bagi perhimpunan sosial, rakyat Malaysia berusia 25 tahun, Mika She Yuan Wei, didenda S$3,700 pada Khamis (24 Sep). Tuduhan ketiga dipertimbangkan semasa pengadilan.

Pihak berkuasa dimaklumkan tentang kesalahan-kesalahan itu selepas lelaki berkenaan, warga M'sia Chiew Chin Wooi, 26 tahun, memuat naik gambar-gambar berserta keterangan online yang menyatakan dia meninggalkan rumah ketika cuti sakit untuk mengambil peperiksaan.

Dia masih bebas selepas meninggalkan Singapura pada 17 Julai dan gagal kembali untuk didakwa bersama She bulan lalu.

She memberitahu mahkamah dia membenarkan Chiew, rakannya dan juga seorang juruaudit, untuk belajar di flatnya kerana lelaki warga Malaysia itu tinggal bersendirian di Singapura semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dan "semua tempat tutup".

Mahkamah diberitahu Chiew bertanya kepada She sama ada dia boleh pergi ke flatnya untuk mengambil peperiksaan Akauntan Pengamal Bertauliah di rumahnya.

Chiew berkata dia mahu berbuat begitu kerana isyarat WiFi di tempat tinggalnya lebih lemah. Dia telah ke rumah She pada sekitar 9.40 pagi pada 8 Mei, dan meninggalkan tempat itu pada 4.50 petang. Ketika itu dia berkata dia akan pergi berjumpa doktor.

Dia mendapat cuti sakit 5 hari pada lewat petang hari berkenaan kerana batuk-batuk dan memuat naik sijil cuti sakit (MC) itu online, yang dilihat oleh She.

Pada keesokan harinya, Chiew sekali lagi pergi ke flat She pada 9.35 pagi untuk belajar bersama-sama dan menduduki bahagian kedua peperiksaan onlinenya.

Mereka berdua meninggalkan flat itu sekitar tengah hari untuk membeli makanan sebelum pulang untuk makan bersama-sama di flat itu. Setelah Chiew selesai mengambil peperiksaannya pada sekitar 4.00 petang hari itu, She mengaturkan perjumpaan bersama seorang lagi rakan sekerja, Ang Hui Shian, 26 tahun, untuk memberinya hadiah hari jadi.

Ketiga-tiganya berjumpa di Waterway Point di Punggol dan mereka pergi ke pasar raya bersama-sama untuk membeli barang dapur sebelum membeli makan malam untuk dibawa pulang.

Pihak berkuasa mengesan kesalahan-kesalahan She menyusuli siasatan ke atas Chiew yang melanggar peraturan COVID-19.

Bagi setiap tuduhan melanggar peraturan COVID-19, She boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Waran tangkap ke atas Chiew dikeluarkan bulan lalu selepas dia gagal melaporkan diri untuk didakwa bersama She. Pendakwa berkata pada masa itu bahawa dia tidak pulang ke Singapura tanpa menyatakan dia berada di negara mana.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan