Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita didakwa jumpa teman lelaki, tidak pakai pelitup dengan betul semasa 'circuit breaker'

Seorang wanita didakwa di mahkamah setelah dipercayai keluar rumah sebanyak dua kali untuk bertemu dengan teman lelakinya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita didakwa jumpa teman lelaki, tidak pakai pelitup dengan betul semasa 'circuit breaker'

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 22 May 2020 04:05PM Dikemas Kini : 22 May 2020 04:08PM

SINGAPURA: Seorang wanita didakwa di mahkamah setelah dipercayai keluar rumah sebanyak dua kali untuk bertemu dengan teman lelakinya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Renukha Arumugam 30 tahun didakwa pada Jumaat (22 Mei) dengan lima tuduhan di bawah Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) 2020.

Ini termasuk dua tuduhan bertemu dengan individu yang tidak tinggal serumah dengannya bagi tujuan sosial, dua tuduhan keluar rumah tanpa alasan yang munasabah dan satu lagi kerana tidak memakai pelitup dengan betul apabila berada di luar.

Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak pula mendedahkan bagaimana dia ditangkap.

Menurut kertas pertuduhan, dia keluar rumah sebanyak tiga kali - dua kali untuk bertemu dengan teman lelakinya dan kali ketiga pula untuk bertemu dengan seorang rakan.

Sekitar pukul 3.00 pagi pada 12 Apr, dia dipercayai meninggalkan flatnya di Jurong West untuk berjumpa dengan teman lelakinya di sebuah bangku di hadapan Blok 713 Clementi West Street 2.

Lima hari kemudian, dia keluar rumah sekali lagi pada pukul 12.30 tengah hari pada 17 Apr untuk berjumpa teman lelakinya di Blok 713 Clementi West Street 2.

Pelitup yang dipakainya tidak menutupi bahagian hidung dan mulutnya ketika berada di pintu masuk tempat letak kereta di Blok 724 Clementi West Street 2 pada pukul 1.30 tengah hari pada hari yang sama.

Dia dikenakan tuduhan kelima kerana bertemu dengan seorang lagi individu, yang tidak dinyatakan, yang tidak tinggal serumah dengannya pada pukul 10.50 pagi pada 29 Apr di Blok 433 Jurong West Street 41.

Dalam kenyataannya, polis turut mendedahkan bahawa dia berjumpa dengan individu tersebut, yang merupakan rakannya, untuk ke pasar raya.

Renukha memberitahu mahkamah bahawa dia "benar-benar memohon maaf atas segala-galanya" dan tidak berniat untuk melanggar undang-undang.

"Saya sedang menganggur jadi jika anda kenakan denda yang berat, saya tidak mungkin dapat membayarnya," katanya.

Dia akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 10 Jun untuk mengaku bersalah. Dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya bagi setiap kesalahannya.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan