Images
  • ttsh
    Gambar fail Hospital Tan Tock Seng. (Gambar: Tan Tock Seng Hospital/Facebook)

Wanita didakwa gagal pakai pelitup di Hospital Tan Tock Seng, serang 4 orang

SINGAPURA: Seorang wanita didakwa pada Isnin (26 Okt) kerana gagal memakai pelitup di Hospital Tan Tock Seng dan menyerang empat orang sejurus selepas kejadian itu.

Leong Pui Hong, 42, dikenakan satu dakwaan melanggar peraturan COVID-19 dengan tidak memakai pelitup di Wad 5A Hospital Tan Tock Seng pada sekitar 2.00 petang pada 23 Julai.

Dia dikenakan lagi empat tuduhan kerana sengaja menyebabkan kecederaan terhadap tiga wanita dan seorang lelaki pada kira-kira 2.15 petang pada hari yang sama di kawasan lif Wad 5A.

Menurut kertas pertuduhan, Leong memulas dan mencubit tangan seorang wanita dan memijak kakinya. Dia didakwa menumbuk hidung seorang lagi wanita dan menendang kakinya, sebelum mencengkam dan mencakar lengan wanita ketiga.

Dia juga dituduh menendang kaki lelaki itu dan menumbuk perutnya. Dokumen mahkamah tidak menjelaskan punca bagi serangan-serangan itu.

Leong akan dihadapkan lagi ke mahkamah pada 16 November. Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan, denda tidak melebihi S$10,000, atau kedua-duanya kerana tidak memakai pelitup di luar rumahnya.

Bagi setiap dakwaan sengaja menyebabkan kecederaan, dia boleh dipenjara hingga tiga tahun, didenda tidak melebihi S$5,000, atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

- CNA/TQ/tq

Top