Images
  • state court
    (Gambar fail: Mediacorp)

Wanita berulang kali langgar peraturan perhimpunan COVID-19 didenda S$4,000

SINGAPURA: Seorang wanita berulang kali melanggar peraturan COVID-19 yang melarang perhimpunan sosial semasa langkah "pemutus rantaian jangkitan" dan tidak membayar denda bagi penyelesaian di luar mahkamah yang dikenakan ke atasnya.

Tuan Siti Aishah Tuan Ab Rahman, 20, dikenakan denda S$4,000 di mahkamah pada Rabu (14 Okt) atas dua tuduhan bertemu orang yang tidak tinggal serumah dengannya bagi tujuan sosial. Tiga lagi tuduhan serupa diambil kira semasa pengakuan salahnya.

Mahkamah diberitahu bahawa Siti diajak oleh seorang rakan untuk bertemu dengan empat orang lain di sebuah kolong blok di Bedok pada sebelah malam, 8 Mei. Pada masa itu, langkah pemutus rantaian jangkitan masih berkuat kuasa, yang melarang perjumpaan sosial atas sebab tidak penting.

Dia bersetuju untuk bertemu kerana "berasa bosan di rumah", dan bertemu dengan lima orang itu di kolong Blok 408, Bedok North Avenue 2, di mana mereka berbual-bual dan bernyanyi.

Seorang penduduk menelefon polis pada 4.23 pagi dan berkata "mereka masih bernyanyi" dan "mereka tidak sepatutnya tidur di sini", dengan merujuk kepada Siti dan rakan-rakannya.

Apabila seorang pegawai polis tiba, beliau mendapati kumpulan itu sedang berbual dan ketawa dengan kuat. Mereka mengakui bahawa mereka mengadakan pertemuan sosial dan sedar akan peraturan yang berkuat kuasa.

Siasatan menunjukkan bahawa ini adalah kali ketiga Siti melanggar peraturan COVID-19, dan dia tidak membuat sebarang bayaran denda yang dikenakan terhadapnya.

Dia sekali lagi melakukan kesalahan pada 20 Mei semasa pergi ke kedai bersama ibunya. Dia terserempak dengan tiga rakannya di cawangan McDonald's di Bedok dan singgah untuk berbual dengan mereka sementara menunggu ibunya selesai membeli barangan dapur.

Seorang pemberi maklumat menelefon polis untuk melaporkan bahawa beberapa orang sedang "duduk di sana tanpa pelitup dan mengoyakkan pita pembatasan". Polis tiba dan melihat Siti bersama tiga rakannya.

Ini adalah kali keempat dia melanggar peraturan, dan dia belum membuat sebarang bayaran denda.

Timbalan Pendakwa Raya Emily Koh meminta denda sekurang-kurangnya S$4,000, dengan berkata bahawa Siti telah menemui rakan-rakannya "atas tujuan tidak penting dan sama sekali tidak perlu" di kolong blok Bedok.

Mereka membuat bising dan mengganggu sekurang-kurangnya seorang penduduk, sehingga panggilan 999 dibuat pada dini hari.

Siti juga sedar dia bertemu dengan lima orang lain, yang menunjukkan "dia tidak memandang serius langkah-langkah jarak sosial", kata Cik Koh.

Siti, yang tidak diwakili peguam, meminta untuk membayar denda secara ansuran. Hakim menjawab dengan mengatakan kejadian sebelum ini menunjukkan dia tidak cekap mematuhi arahan.

Siti berkata bahawa dia baru saja memulakan pekerjaan yang membayarnya gaji S$300, dan ibunya tidak mempunyai wang untuk membayar denda pada Rabu.

Hakim membenarkannya membuat pembayaran pada Khamis. Sekiranya dia gagal membayar denda, dia boleh dipenjara selama lapan hari sebagai ganti.

Bagi setiap tuduhan melanggar peraturan COVID-19, Siti boleh dipenjara hingga enam bulan, didenda hingga S$10,000, atau kedua-duanya.

- CNA/TQ/tq

Top