Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita alami kesan sampingan serius selepas makan pil tanpa label untuk sakit kepala

Seorang wanita dalam lingkungan usia 50an tahun mengalami sindrom Cushing selepas memakan kapsul yang tidak dilabel dan dibeli daripada seorang penjaja di pasar Redhill, kata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Selasa (13 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita alami kesan sampingan serius selepas makan pil tanpa label untuk sakit kepala

HSA beri amaran 3 produk keselamatan mengandungi bahan perubatan kuat tidak diisytihar yang boleh bawa kesan sampingan (Gambar: HSA)

Diterbitkan : 13 Aug 2019 05:31PM Dikemas Kini : 13 Aug 2019 05:38PM

SINGAPURA: Seorang wanita dalam lingkungan usia 50an tahun mengalami sindrom Cushing selepas memakan kapsul yang tidak dilabel dan dibeli daripada seorang penjaja di pasar Redhill, kata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Selasa (13 Ogos).

Sindrom Cushing yang lazimnya disebabkan pengambilan steroid adalah keadaan perubatan serius yang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, daya tahan tubuh lemah, kenaikan berat badan dan muka bulat atau "bulan" (moon face).

Kapsul yang tidak dilabel itu dijual dalam bungkusan 50 biji setiap satu, oleh seorang penjaja di pasar Redhill. Produk tersebut disertakan dengan sekeping risalah dengan tulisan bahasa Cina yang menyatakan kapsul tersebut mengandungi pelbagai herba seperti biji Moringa, cordyceps dan bunga Panax notoginseng.

Ia juga mendakwa produk tersebut "100% diperbuat daripada herba" dan boleh merawat pelbagai keadaan perubatan seperti penyakit kronik serta keadaan seperti barah, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dan kencing manis.

Wanita tersebut sudah memakan produk tersebut selama tiga hingga empat bulan untuk sakit kepalanya sebelum doktornya mengesyaki produk itu dicampur dengan steroid lalu memaklumkan HSA.

Ujian mendapati produk tersebut mengandungi steroid (jenis dexamethasone dan prednisolone) serta bahan-bahan perubatan kuat lain seperti diclofenac, sejenis ubat pelali yang mungkin menyebabkan pendarahan serius dalam perut serta serangan jantung dan angin ahmar, apabila digunakan buat tempoh berpanjangan.

2 PRODUK ONLINE DIDAPATI KANDUNGI BAHAN KUAT

HSA turut memberi amaran mengenai dua produk lain - Skinny Lolita dan Xtreme Candy.

Skinny Lolita dipasarkan sebagai ubat pelangsingan badan tradisional "semula jadi" yang mengandungi hanya ekstrak tumbuh-tumbuhan dan herba. Namun, ujian HSA mendapati ia mengandungi sibutramina, sejenis ubat yang diharamkan di Singapura sejak 2010 kerana meningkatkan risiko serangan jantung dan angin ahmar.

Skinny Lolita juga dipasarkan sebagai bungkusan baru bagi sejenis produk yang sebelum ini diuji HSA pada 2017 mengandungi sibutramina.

(Gambar: HSA)
(Gambar: HSA)

(Gambar-gambar: HSA)

Dalam satu kes berasingan, Xtreme Candy, yang dipasarkan sebagai gula-gula yang mengandungi ginseng dan ramuan tumbuh-tumbuhan lain, dirampas oleh seorang wanita berusia 40an tahun yang mengimportnya dari Malaysia.

"Ujian mendapati produk tersebut mengandungi campuran tadalafil, sejenis bahan ubat kuat yang hanya boleh diambil atas nasihat doktor bagi merawat mati pucuk," menurut HSA.

Penggunaan tadalafil dan campurannya secara tidak wajar boleh "menyebabkan kesan serius" seperti angin ahmar, serangan jantung, tekanan darah rendah dan priapisme.

Kedua-dua produk dijual di pelbagai laman e-dagang di Singapura dan Malaysia. HSA telah mengarahkan pentadbir lelaman setempat untuk menurunkan penyenaraian kedua-dua produk.

"Kami juga sudah memaklumkan rakan sejawatan kami dari Malaysia berhubung penyenaraian produk-produk tersebut untuk langkah penguatkuasaan susulan mereka," tambah HSA.

HSA menasihati semua pengguna untuk serta merta hentikan pengambilan produk berkenaan dan mendapatkan nasihat doktor jika berasa kurang sihat atau bimbang tentang kesihatan mereka.

HSA juga memberi amaran kepada para pengguna supaya elak daripada membeli produk kesihatan dari sumber-sumber yang tidak dikenali atau membuat dakwaan berlebih-lebihan, seperti keupayaan merawat keadaan dan penyakit kronik.

"Meskipun produk-produk sedemikian disyorkan oleh rakan karib atau ahli keluarga, tiada cara untuk menentukan cara produk-produk ini dibuat. Meskipun kandungannya didakwa '100% herba' atau bahan 'semula jadi', produk-produk ini mungkin mengandungi bahan kuat yang boleh memudaratkan kesihatan."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan