Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita 48 tahun mangsa kebakaran flat di Ang Mo Kio

Seorang wanita berusia 48 tahun meninggal dunia setelah satu kebakaran berlaku di sebuah flat HDB di Ang Mo Kio yang penuh dengan barangan pada pagi Jumaat (5 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 48 tahun mangsa kebakaran flat di Ang Mo Kio

(Gambar: SCDF)

Diterbitkan : 05 Mar 2021 03:21PM Dikemas Kini : 05 Mar 2021 03:22PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 48 tahun meninggal dunia setelah satu kebakaran berlaku di sebuah flat HDB di Ang Mo Kio yang penuh dengan barangan pada pagi Jumaat (5 Mac).

Seorang lelaki berusia 20 tahun yang berada dalam flat yang sama juga mengalami kecederaan.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan dalam satu catatan Facebook bahawa ia dimaklumkan tentang kebakaran itu pada pukul 6.10 pagi di sebuah flat di tingkat 11 Blok 456 Ang Mo Kio Avenue 10.

Anggota bomba terpaksa memecahkan pintu untuk masuk ke dalam unit itu.

Menurut SCDF, seluruh bilik tamu dijilat api disebabkan "banyaknya barangan mudah terbakar di situ".

"Pergerakan anggota bomba dalam unit itu juga terjejas, kerana mereka perlu bergerak berhati-hati di sekitar timbunan barangan untuk melakukan operasi pemadaman api."

Mereka berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap di dalam tandas di dapur dan wanita berkenaan dari sebuah bilik tidur. Bagaimanapun wanita itu sudah tidak lagi bernafas dan tidak ada denyut nadi.

Kakitangan SCDF memberi bantuan pernafasan kecemasan kepada wanita itu dan kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tan Tock Seng di Novena. Polis berkata kedua-dua mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri semasa dalam perjalanan ke hospital, di mana wanita itu meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Tiada perbuatan khianat disyaki dan siasatan terhadap punca kebakaran dan kematian luar biasa tersebut sedang dijalankan.

Kebakaran itu dapat dipadamkan menggunakan jet air dan satu pek buih udara padat.

Gambar flat yang terbakar itu dimuat naik ke laman Facebook SCDF dan menunjukkan longgokan barangan seperti pakaian, bekas barang dan kotak di atas lantai.

Sekitar 30 penghuni blok tersebut berpindah secara sendiri sebelum pegawai bomba tiba di tempat kejadian.

SCDF mengingatkan orang ramai tentang perbuatan menyimpan barangan mudah terbakar secara keterlaluan di rumah yang boleh menghalang laluan dan menjejas usaha memadamkan api.

"Para penduduk digesa supaya tidak melonggok barangan mudah terbakar seperti suratkhabar, perabot dan pakaian dalam unit mereka kerana ini boleh mencetuskan kebakaran yang menyebabkan kerosakan teruk dan mungkin membahayakan nyawa."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan