Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita 35 tahun dijel 7 minggu; tendang, pukul amah guna penyangkut baju

Wanita berusia 35 tahun yang berkali-kali mendera pembantu rumahnya, termasuk menendang bahagian kelangkang dan memukulnya dengan penyangkut baju sehingga pecah, dihukum penjara selama tujuh minggu pada Selasa (28 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 35 tahun dijel 7 minggu; tendang, pukul amah guna penyangkut baju

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 29 Sep 2021 09:12AM Dikemas Kini : 29 Sep 2021 09:14AM

SINGAPURA: Wanita berusia 35 tahun yang berkali-kali mendera pembantu rumahnya, termasuk menendang bahagian kelangkang dan memukulnya dengan penyangkut baju sehingga pecah, dihukum penjara selama tujuh minggu pada Selasa (28 Sep).

Wang Xiaohui yang mengaku bersalah pada Mei lalu atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, juga diarahkan supaya membayar pampasan sebanyak S$2,000 kepada Cik Ngo Sabal, menurut laporan Mediacorp.

Seorang pakar psikiatri yang memeriksa Wang berkata bahawa pembantu rumah hijrahan itu mengalami kecelaruan episod kemurungan yang teruk (MDD) pada waktu kesalahan itu dilakukan, yang menjejas keupayaannya untuk mengawal diri daripada melakukan perbuatan itu.

Hakim Daerah May Mesenas bagaimanapun menolak usulan perintah rawatan wajib selama 18 bulan bagi Wang, sambil berkata bahawa gangguannya tidak cukup besar untuk melepaskan Wang dari rangka hukuman biasa.

Rakyat Singapura itu, yang bertugas sebagai seorang guru muzik, akan mula menjalani hukuman penjara dalam masa sebulan kerana dia harus membuat pengaturan untuk menjaga dua anaknya yang masih kecil, menurut Mediacorp.

Laporan itu menambah bahawa peguam bela Wang, Encik Cory Wong dan Encik Josephus Tan dari Invictus Law Corporation tidak mengatakan sama ada mereka akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.

BERANG KERANA MANGSA TIDAK BUAT KERJA RUMAH IKUT ARAHANNYA

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa warga Myanmar berusia 25 tahun itu mula bekerja untuk keluarga Wang pada Mac 2019.

Ia juga kali pertama mangsa bekerja di Singapura dan beliau ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja rumah dan menjaga dua anak kecil Wang.

Menurut dokumen mahkamah, Wang pertama kali mendera Cik Ngo Sabal pada Mei tahun itu dengan memukul kepalanya sebanyak dua kali. Pada bulan berikutnya, Wang memukul mangsa sebanyak lima kali dan menendang bahagian kelangkangnya.

Pada Julai 2019, Wang memukul Cik Ngo Sabal menggunakan sebahagian daripada pembersih vakum.

Pada bulan yang sama, Wang mengarahkan Cik Ngo Sabal untuk mencuci dan mengeringkan beberapa pakaian dengan tangan supaya tidak menjejas pakaian anggota keluarga yang lain.

Pakaian itu milik Wang, yang mengalami sakit cacar ketika itu.

Mangsa membasuh pakaian Wang secara berasingan tetapi mengeringkannya dengan pakaian lain dalam mesin basuh yang dilengkapi dengan fungsi pengering, menyebabkan Wang memarahinya.

Pada hari yang sama, Wang memberitahu mangsa supaya mencuci pinggan mangkuk secara berasingan namun naik berang apabila mangsa menggunakan span yang sama untuk mencuci kesemua pinggan mangkuk.

Menyusuli kejadian itu, Wang berkali-kali memukul mangsa menggunakan penyangkut baju yang diperbuat daripada plastik sehingga ia pecah.

Wang kemudian memukul mangsa sekali lagi dengan dua lagi penyangkut baju plastik sehingga ia juga pecah.

Walaupun mangsa "mengalami kesan lebam pada seluruh tubuhnya" kerana dipukul, Wang tidak membawa Cik Ngo Sabal untuk mendapatkan rawatan perubatan, menurut Timbalan Pendakwa Raya Janice See kepada mahkamah.

Penderaan itu terbongkar dua hari setelah ia berlaku apabila Cik Ngo Sabal menghampiri seorang wanita berusia 40 tahun di sebuah taman permainan. Mangsa menunjukkan kesan lebam pada lengan kirinya dan berkata bahawa majikannya memukulnya.

Wanita itu memetik gambar kesan lebam itu lalu menghubungi polis.

Cik Ngo Sabal menetap di sebuah rumah tumpangan sejak hari itu dan mangsa berkata bahawa beliau tidak lagi ingin bekerja di Singapura.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, Wang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Jika kesalahan itu melibatkan seorang pembantu rumah hijrahan, para pesalah boleh dikenakan 1.5 kali ganda hukuman maksimum.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan