Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita 24 tahun mengaku elak ujian COVID-19; keluar beli-belah & bertemu kekasih semasa cuti sakit

Seorang wanita yang didiagnosis dengan jangkitan pernafasan akut mengaku tidak menghadiri sesi janji temu ujian COVID-19. Dia sebaliknya keluar rumah untuk membeli-belah dan bertemu dengan teman lelakinya di kediaman lelaki tersebut walaupun sedang cuti sakit.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 24 tahun mengaku elak ujian COVID-19; keluar beli-belah & bertemu kekasih semasa cuti sakit

Janani Kalaychelvam, 24 tahun, di luar mahkamah (Gambar: TODAY/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 16 Sep 2021 03:50PM Dikemas Kini : 16 Sep 2021 03:53PM

SINGAPURA: Seorang wanita yang didiagnosis dengan jangkitan pernafasan akut mengaku tidak menghadiri sesi janji temu ujian COVID-19. Dia sebaliknya keluar rumah untuk membeli-belah dan bertemu dengan teman lelakinya di kediaman lelaki tersebut walaupun sedang cuti sakit.

Janani Kalaychelvam, 24 tahun, mengaku bersalah pada Khamis (16 Sep) atas satu tuduhan melanggar peraturan COVID-19. Dua tuduhan serupa juga akan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman pada 5 Oktober.

Mahkamah diberitahu bahawa Janani pergi ke Klinik Keluarga OneDoctors di Yishun Ring Road pada petang 30 Januari tahun ini. Dia mengadu sakit tekak, batuk dan sesak nafas selama beberapa hari.

Oleh kerana klinik tersebut sudah berhenti mengambil sampel ujian swab pada waktu itu, Janani diberitahu supaya datang lagi pada pagi 1 Februari untuk mengambil ujian COVID-19.

Menurut dokumen mahkamah, doktor menjelaskan bahawa beliau biasanya akan memberikan sijil cuti sakit (MC) selama tiga hari untuk pesakit yang mengambil ujian tersebut di klinik. Namun, oleh kerana Janani akan datang lagi dua hari kemudian, doktor akan memberikannya MC selama lima hari.

Doktor turut memberitahunya bahawa dia tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh cuti sakit kecuali untuk mendapatkan rawatan atau pergi ke klinik.

Meskipun akur dengan syarat itu, Janani menaiki teksi ke rumah rakannya untuk makan malam di sana dan dia berada di kediaman tersebut sehingga sekitar 3.50 pagi, menurut dokumen mahkamah.

Pada 1 Februari, dia tidak menghadiri sesi ujian swab dan keluar rumah selama lebih lima jam. Dia pergi membeli-belah di Northpoint City sekitar 7.50 malam sebelum menaiki teksi ke rumah teman lelakinya.

Teman lelaki dan ibunya berada di rumah ketika itu dan Janani berada di sana sehingga sekitar 1.00 pagi. Dia juga tidak memakai pelitup dan tidak memberitahu sesiapa pun mengenai MC yang diberikan kepadanya, menurut dokumen mahkamah.

Janani akhirnya tidak diuji positif COVID-19.

Peguam belanya, Cik Tan Jun Yin dari Trident Law, meminta sedikit masa untuk mengemukakan rayuan, sambil menambah bahawa pihak pendakwa tidak akan menyatakan penyerahan hukuman mereka secara terbuka.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana melanggar undang-undang COVID-19 boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/TODAY/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan