Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita 23 tahun dijel 8 bulan; kelar ibu mentua dengan pisau 30 sentimeter

Seorang wanita berusia 23 tahun yang menetak ibu mentuanya dengan sebilah pisau dan menumbuknya pada bahagian muka dijatuhi hukuman penjara lapan bulan pada Jumaat (24 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 23 tahun dijel 8 bulan; kelar ibu mentua dengan pisau 30 sentimeter

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 24 May 2019 03:36PM Dikemas Kini : 24 May 2019 03:40PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 23 tahun yang menetak ibu mentuanya dengan sebilah pisau dan menumbuknya pada bahagian muka dijatuhi hukuman penjara lapan bulan pada Jumaat (24 Mei).

Pergaduhan tercetus apabila suami pesalah meminta ibunya bersemuka dengan isterinya tentang dakwaan wanita itu berlaku curang.

Nurul Natasaha Sazali, 23 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan sengaja mengakibatkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya, dengan dua lagi tuduhan cuba menakut-nakutkan dan menyebabkan kecederaan dengan sengaja turut dipertimbangkan.

Mahkamah difahamkan bahawa Natasha tinggal bersama suaminya yang berusia 25 tahun dan ibu mentuanya, 68 tahun, di bahagian barat Singapura.

Pada sekitar 10.30 malam pada 15 Disember tahun lalu, suami Natasha meminta ibunya bersemuka dengan Natasha kerana mengesyaki isterinya menjalin hubungan sulit.

Semasa Natasha mengurut ibu mentuanya dalam bilik, mangsa bertanya kepadanya tentang hal tersebut.

Naik berang akibat tuduhan ibu mentuanya itu, Natasha menumbuk mangsa beberapa kali pada bahagian muka hingga bibir mangsa berdarah.

Natasha kemudian ke dapur dan mengambil sebilah pisau sepanjang 30 sentimeter.

Natasha kemudian mengelar ibu mentuanya dua kali pada bahagian belakang tubuh. Wanita tua itu berjaya merampas pisau itu sebelum melarikan diri.

Lewat malam itu, suami Natasha membuat aduan polis.

MANGSA MASUK HOSPITAL

Mangsa dimasukkan ke Hospital Besar Ng Teng Fong selama tiga hari akibat kecederaan pada bahagian kepala, bibir, jari, lengan, belakang dan bahu.

Selepas diberkas, Natasha dirujuk ke Institut Kesihatan Mental (IMH). Menurut laporan psikiatrik IMH, dia tidak mengalami penyakit jiwa dan tidak mengalami sebarang gangguan atau kemurungan semasa kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun laporan itu menerangkan Natasha menunjukkan tanda-tanda masalah personaliti termasuk mudah naik berang.

Hakim Daerah Ong Chin Rhu berkata kecederaan yang disebabkan Natasha adalah "serius" namun "mangsa rasa selamat untuk kembali tinggal dengan keluarga yang sama".

Mahkamah mengarahkan pisau itu diserahkan kepada polis untuk dihapuskan.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, Natasha boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau didenda. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan