Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wang kertas S$20 sempena memperingati 200 tahun S'pura dilancarkan

Presiden Halimah Yacob melancarkan wang kertas sempena memperingati 200 tahun Singapura pada Rabu (5 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Wang kertas S$20 sempena memperingati 200 tahun S'pura dilancarkan

Wang kertas sempena memperingati Dwiabad Singapura memaparkan potret Encik Yusof Ishak, presiden pertama Singapura. (Gambar: Penguasa Kewangan Singapura)

Diterbitkan : 05 Jun 2019 06:02PM Dikemas Kini : 05 Jun 2019 06:21PM

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob melancarkan wang kertas sempena memperingati 200 tahun Singapura pada Rabu (5 Jun).

Wang kertas keluaran Penguasa Kewangan Singapura (MAS) itu menggambarkan perjalanan Singapura menuju ke arah kemerdekaan dan memberi penghormatan kepada generasi terdahulu yang membangunkan asas Singapura moden.

Muka hadapan wang kertas itu memaparkan potret Encik Yusof Ishak, presiden pertama Singapura, di samping lukisan bangunan Mahkamah Agung dan Dewan Perbandaran Singapura lama, yang kini menempatkan Galeri Nasional Singapura.

Bahagian belakang wang kertas itu pula memaparkan potret lapan tokoh perintis yang membuat sumbangan penting kepada pembangunan negara dalam bidang-bidang seperti pendidikan, budaya, khidmat kemasyarakatan, sukan dan pertahanan Singapura, menurut MAS.

Bahagian belakang wang kertas sempena memperingati Dwiabad Singapura memaparkan potret lapan tokoh perintis yang membuat sumbangan penting kepada pembangunan negara. (Gambar: Penguasa Kewangan Singapura)

Setiap nota diletakkan dalam pelipat yang direka khas.

Lapan tokoh yang dipaparkan itu ialah Munshi Abdullah, setiausaha dan penterjemah untuk Sir Stamford Raffles; Henry Nicholas Ridley, pengarah pertama Kebun Bunga Singapura; ahli perniagaan dan dermawan Tan Kah Kee dan P. Govindasamy Pillai; pekerja khidmat sosial ternama Teresa Hsu Chih; olahragawati Alice Pennefather; wira Perang Dunia Kedua Adnan Saidi dan perintis bidang pendidikan Ruth Wong Hie King.

Dua juta keping nota sempena memperingati 200 tahun Singapura itu akan dikeluarkan untuk ditukar ganti pada nilai tertera S$20 mulai 10 Jun di sembilan bank utama:

- DBS Bank Limited / POSB
- Oversea-Chinese Banking Corporation Limited
- United Overseas Bank Limited
- Bank of China Limited
- Citibank Singapore Limited
- Industrial and Commercial Bank of China Limited
- Malayan Banking Berhad
- Standard Chartered Bank
- The Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited

Bagi memastikan kesemua orang awam berpeluang membuat penukaran untuk mendapatkan wang kertas kenangan tersebut, setiap individu dibenarkan untuk menukar sehingga 20 keping wang kertas bagi setiap urus niaga.

Sebanyak 5,000 set koleksi numismatik edisi terhad juga akan dijual. Setiap set terdiri daripada satu kepingan tiga wang kertas S$20 yang bersambung.

Orang ramai boleh membuat tempahan awal dengan Singapore Mint mulai Rabu hingga 13 Jun. Set koleksi numismatik itu akan diperuntukkan berdasarkan undian jika permintaan melebihi bekalan dan ia boleh didapatkan mulai 20 Jun.

Wang kertas kenangan itu direka oleh seniman-seniman tempatan Encik Eng Siak Loy dan Encik Weng Ziyan.

Sempena memperingati Dwiabad Singapura, buat julung-julung kalinya, Galeri MAS akan memaparkan koleksi wang kertas dan duit syiling khas yang menjejaki pembangunan Singapura sepanjang lebih 200 tahun lalu. 

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan