Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Walimatul urus COVID-19: Pasangan S'pura-M'sia teruskan pernikahan dua negara menggunakan wakil

Encik Ja'afar Juma'at, 44 tahun dari Singapura dan Cik Suzana Zakaria, 41 tahun dari Malaysia, tidak membiarkan COVID-19 mahupun sekatan sempadan menjejas niat mereka untuk berumah tangga.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sejak langkah pemutus rantaian jangkitan bagi membendung COVID-19 dilaksanakan di negara ini, sebilangan pasangan terpaksa menangguhkan pernikahan mereka.

Lebih mencabar lagi bagi pasangan dari dua negara berbeza.

Di bawah syarat dan peraturan yang ditetapkan, semua pihak terlibat - pengantin, saksi dan wali perlu berada di Singapura.

MAJLIS DITERUSKAN KERANA...

Bagi pasangan Encik Ja'afar Juma'at, 44 tahun dari Singapura dan Cik Suzana Zakaria, 41 tahun dari Malaysia, mereka tidak membiarkan COVID-19 mahupun sekatan sempadan menjejas niat mereka untuk berumah tangga.

"Sebenarnya kami sudah rancang pernikahan ini sudah lama. Tetapi disebabkan COVID-19 dan ketidakpastian bila sempadan akan dibuka, kami rancang untuk meneruskan majlis ini," kata Encik Ja'afar, seorang pemandu teksi sepenuh masa.

(Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

Bagaimanapun, bagi pernikahan online, Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) memerlukan kedua-dua pihak untuk berada di Singapura.

"Pertama sekali, saya harus pergi ke ROMM, mendaftarkan diri bersama bakal isteri, hantarkan beberapa dokumen dan dapatkan surat Surat Kebenaran ('Letter of Permission') untuk bernikah di luar negara," ujar Encik Ja'afar lagi mengenai proses yang perlu diambil untuk meneruskan pernikahannya.

Berkat ketabahan beliau, majlis pernikahannya berjalan lancar dan tetap bermakna, lengkap dengan tradisi berbalas pantun sebagai pemula majlis.

TIDAK DAPAT LAFAZ AKAD NIKAH, HANYA TAKLIK SAHAJA

Semasa acara akad nikah, Encik Ja'afar tidak perlu melafazkan akad dari Singapura. Sebaliknya, seorang wakalah sudah terlebih dahulu diberi izin untuk mengambil tempatnya di Malaysia.

(Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

Meskipun tidak berpeluang melafazkan akad nikah, Encik Ja’afar masih bertanggunjawab melafazkan taklik sebagai ikrarnya kepada isteri tercinta.

Upacara pernikahan berlangsung sepenuhnya di Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Malaysia pada Sabtu (10 Okt) dengan kehadiran bapa pengantin perempuan dengan disaksikan tok kadi dan para saksi.

Mengulas tentang perasaannya semasa majlis pernikahan, Cik Suzana berkongsi: "Pada permulaan itu rasa macam sangat sedihlah sebab dia (Encik Ja'afar) tidak ada. Dia tidak ada di depan mata kita pernikahan itu yang jarang sekali dilakukan dengan cara sebegini. Dan kita pun tidak tahu bila sempadan antara Malaysia dan Singapura akan dibuka. Jadi rasa macam sedih.

"Tapi selepas semuanya selesai tadi, selepas sudah bergelar suami isteri itu rasa macam sangat lega dan rasa bersyukur sangat-sangat, Alhamdulillah," tambah beliau, yang juga seorang ahli perniagaan di Malaysia.

Menyimpan harapan, perjalanan merentasi kedua-dua negara dipermudahkan kelak, pasangan ini merancang untuk melawat keluarga satu sama lain, untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan kedua-dua negara. Mereka berharap dapat disatukan semula Januari 2021.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan