Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Walau COVID, 800 murid masih dapat belajar tentang herba, rempah-ratus, bahasa & budaya Melayu

Serangan COVID-19 tidak bermakna pendidikan bahasa, budaya dan warisan Melayu turut terhenti.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Serangan COVID-19 tidak bermakna pendidikan bahasa, budaya dan warisan Melayu turut terhenti.

Lebih 800 murid Darjah 4 dari 31 sekolah rendah dan madrasah, masih dapat mempelajari mengenai herba dan rempah ratus dalam gastronomi Melayu.

Ini dengan berwisata ke jejak tanaman herba di Fort Canning demi belajar mengenai kegunaan dan khasiat herba serta rempah ratus seperti cekur, kunyit, serai, pegaga dan ulam raja.

Itulah yang ditimba murid-murid sekolah rendah dan madrasah menerusi program 'Gastronomi Melayu: Herba dan Rempah-Ratus' ini, sempena kempen Bulan Bahasa sekarang ini.

(Gambar: PA MESRA)

Semua itu mereka dilakukan secara maya dari rumah.

Ini sebahagian daripada program iPerkasa Warisan 2021 anjuran MESRA Persatuan Rakyat (PA), Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan Kumpulan Kerja Guru Arif Budiman (AGAB).

"Mengapa gastronomi? Sebab ia dekat dengan hati semua, terutama sekali orang Melayu lagi-lagi dengan masakan kita yang sangat unik dengan adanya kunyit, rempah ratus dan sebagainya. Semua itu ada terdapat di Fort Canning," kata Cikgu Sazali Sahri, pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Kerja AGAB.

Keseluruhannya, lebih 800 murid menyertai dan mendapat manfaat daripada program pendidikan itu menerusi 10 sesi zoom yang diadakan hari ini (18 Sep) dan pada 11 September lalu. Ia juga dijalankan menerusi alat pembelajaran sendiri secara digital yang dihantar ke sekolah murid-murid.

Antara sekolah-sekolah yang menyertai program itu hari ini (18 Sep) ialah Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, Sekolah Rendah Springdale, Sekolah Rendah Woodlands dan Sekolah Rendah Yumin.

CABARAN SIAPKAN PROGRAM SEMASA COVID-19

Memandangkan ini kali pertama program ini dijalankan secara maya sepenuhnya, memang terdapat beberapa cabaran yang dialami semasa menjayakannya.

(Gambar: PA MESRA)

(Gambar: PA MESRA)

Bagi sukarelawan dan anggota MESRA, Cik Zainab Sabtu, cabarannya termasuklah penggambaran yang perlu dilakukan untuk menghasilkan video-video pembelajaran.

"Kita perlu menghafal skrip dan kadangkala takut pula kalau tersalah baca semasa penggambaran sedang berlangsung," cerita Cik Zainab.

"Cuaca pun terlampau panas dan ini ada menyebabkan kesukaran bagi kita memberi tumpuan sepenuhnya."

Namun, semua itu tidak menghalang Cik Zainab menghasilkan program yang terbaik demi membantu meningkatkan kesedaran terhadap budaya dan warisan Melayu dalam kalangan murid.

Beliau juga ingin murid-murid melestarikan penggunaan bahasa Melayu dan terus menanamkan cinta terhadapnya.

"Saya berharap murid-murid dapat mengenali rupa dan khasiat ulam-ulaman yang biasa dimakan dan diamalkan oleh masyarakat kita dari dahulu lagi, serta khasiat-khasiat semula jadinya yang tersembunyi," ujar Cik Zainab.

Sebelum ini program Perkasa Warisan yang dijalankan secara fizikal pada 2018 dan 2019 hanya disertai murid-murid. Namun kali ini disebabkan faktor online, ibu bapa juga dapat ikut serta program pendidikan itu dari rumah.

"Pada sesi pertama tadi, kita boleh lihat kepala-kepala ibu bapa yang sedang melihat dan menjenguk apa yang anak mereka sedang lakukan," kongsi Cikgu Sazali.

"Jadi bagi saya, itu sangat menarik kerana kita dapat melibatkan keluarga sekali. Saya rasa inilah kehebatan teknologi, lantas tidak sukar untuk kami memperjuangkan program sebegini pada masa akan datang," tambah beliau.

Pada November dan Disember nanti, ibu bapa juga dapat turut serta bersama anak-anak mereka dalam pertandingan membuat salad menggunakan petai, cekur dan ulam-ulaman. Mereka perlu menyampaikannya menerusi video menggunakan bahasa Melayu.

Ini merupakan salah satu cara murid-murid yang menghadiri program ini dapat menggunakan kemahiran dan ilmu yang sudah diraih kepada kehidupan seharian bersama keluarga. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan